26,984 asnaf fakir, miskin terima RM49.2 juta zakat setakat Oktober 2024 – TKM I

Admin
mohamad abdul hamid MOHAMAD Abdul Hamid semasa membuat sesi penggulungan Exco sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau PInang Ke-15 di sini pada 28 November 2024.

GEORGE TOWN – Sehingga Oktober 2024, Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) telah mengagihkan sejumlah RM49,152,546.05 kepada 6,892 orang asnaf fakir dan 20,092 asnaf miskin.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua MAINPP memberitahu perkara itu dalam sesi ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada 28 November 2024.

“Peranan Zakat Pulau Pinang adalah membangunkan sosioekonomi ummah.

“Antara penerima bantuan zakat teramai adalah dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (KAUDN) Permatang Berangan dengan dengan jumlah penerima seramai 1,816 orang; Seberang Jaya (1,687); Penaga (1,657); Permatang Pasir (1,422), Pinang Tunggal (1,396); Bayan Lepas (1,334); Machang Bubuk (1,257); Sungai Pinang (1,113); dan Sungai Bakap (1,041),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Beliau memberitahu bahawa MAINPP melalui anak syarikatnya Zakat Pulau Pinang menyasarkan kutipan sejumlah RM170 juta bagi tahun 2024.

“Jumlah kutipan zakat senantiasa meningkat (dengan rekod) pada tahun 2022 sebanyak RM150 juta, 2023 (RM159.7 juta).

“Sementara pada tahun 2024, kutipan dianggarkan mencecah hampir RM170 juta, berdasarkan unjuran kutipan zakat harta dan (zakat) fitrah… (yang mana) kutipan setakat 26 November 2024 sebanyak RM118,773,935.47,” katanya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR