BAGAN DALAM – Seramai 27 gelandangan dan pengemis ‘diselamatkan’ menerusi operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan di kawasan hotspot di sini semalam.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim ketika ditemui berkata, dalam operasi yang dijalankan selama tiga jam itu, seramai 23 warganegara dan empat warga asing termasuk seorang kanak-kanak telah ‘diselamatkan’.
Antara kawasan hotspot adalah premis perniagaan, perbankan, pasar awam, tempat letak kereta di Taman Selat serta kawasan sekitar premis berkaitan di sini.
“Mereka ini dibawa ke pusat saringan kesihatan untuk pemeriksaan lanjut sebelum ditempatkan di lokasi yang lebih sesuai,” ujarnya yang turut serta dalam operasi bersepadu tersebut.

Mengulas lanjut, Siew Khim memaklumkan bahawa sikap murah hati rakyat Pulau Pinang yang sering memberi sumbangan kepada gelandangan dan pengemis secara tidak langsung menarik perhatian ‘orang luar’ ke sini dan menggalakkan aktiviti meminta sedekah.
Bahkan ada pihak tertentu yang menggunakan kanak-kanak dan warga emas untuk meminta sedekah daripada orang ramai dan tindakan ini adalah tidak betul.
“Malah, ia juga menjejaskan reputasi Pulau Pinang serta memberi kesan terhadap ketenteraman komuniti setempat.
Maka, operasi bersepadu yang dijalankan ini adalah untuk membantu golongan terpinggir ini, ‘menyelamatkan’ mereka dan membawa mereka ke tempat yang lebih sesuai serta selesa untuk meneruskan kehidupan.
“(Hal ini kerana) setiap gelandangan dan pengemis yang ‘diselamatkan’ ini mempunyai pelbagai masalah yang berbeza, jadi melalui operasi bersepadu ini, pelbagai agensi berkaitan yang turut serta akan membantu mereka,” jelasnya.

Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), turut sama dalam operasi bersepadu tersebut adalah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK); Jabatan Imigresen; Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran mendedahkan bahawa operasi bersepadu serupa turut diadakan tahun lalu.
Namun, mereka ini sangat berhati-hati dan apabila melihat pegawai penguat kuasa mereka segera melarikan diri menyebabkan operasi ini kurang efektif sebelum ini.
“Walau bagaimanapun, kali ini, operasi yang dijalankan lebih terperinci termasuk membahagikan pasukan kepada tiga kumpulan dan menjalankan operasi secara serentak.
“Mereka ini akan dihantar ke tempat-tempat yang berbeza seperti pusat transit, rumah kebajikan atau penempatan mengikut agensi,” katanya.

Buletin Mutiara difahamkan bahawa 12 individu dibawa oleh AADK; Jabatan Imigresen (4); JKNPP (4); JKM (1) dan tiga individu di bawa ke Pusat Transit Gelandangan manakala tiga individu lain dilepaskan dengan amaran.
Berdasarkan jantina, 21 lelaki dan enam perempuan manakala mengikut usia pula, seorang kanak-kanak, dewasa (18) dan warga emas (8).
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING