274,151 penerima terima bayaran Program i-Sejahtera Fasa 1/2025 bermula hari ini

4becea91 b535 4a72 b06d e34aab55a6e3

GEORGE TOWN – Sejumlah RM49,457,000 bakal dibayar kepada 274,151 penerima di bawah Program i-Sejahtera Fasa 1 Tahun 2025 mulai hari ini.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada sidang media di sini sebentar tadi.

Menurut Kon Yeow, bayaran tersebut akan disalurkan secara Electronic Fund Transfer (EFT) ke akaun penerima mulai 12 Mac 2025.

Sebagaimana diketahui bahawa Program i-Sejahtera ini merupakan bukti kesungguhan Kerajaan Negeri dalam mengutamakan agenda kebajikan serta mengiktiraf jasa dan sumbangan rakyat Pulau Pinang.

“(Malah) Kerajaan Negeri juga amat prihatin terhadap keperluan rakyat Pulau Pinang dan sentiasa memastikan bantuan kebajikan yang disaluran dapat meringankan beban golongan memerlukan.

“Justeru, bagi Program i-Sejahtera Fasa 1 Tahun 2025 ini, seramai 274,151 penerima akan menerima manfaat yang mana seramai 205,089 individu adalah penerima di bawah Program Penghargaan Warga Emas; Program Suri Emas (43,321); Program Bantuan Orang Kurang Upaya (15,330) dan Program Bantuan Ibu Tunggal (10,411),” ujarnya.

66f1554d dd4a 4424 a400 9222fc35f95e
KETUA Menteri bersama-sama wakil jabatan pelaksana Program i-Sejahtera Negeri Pulau Pinang Fasa 1/2025 pada sidang media di sini, tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa mana-mana permohonan yang dikemukakan selepas tarikh 10 Februari 2025 akan menerima pembayaran pada Fasa 2 nanti.

“Pemohonan boleh dibuat melalui laman web rasmi i-Sejahtera dan mereka (pemohon) digalakkan untuk mengemas kini maklumat akaun bank bagi memastikan pembayaran Fasa 2/2025 berjalan lancar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada jabatan-jabatan pelaksana Program i-Sejahtera.

“Terutamanya Pejabat Kewangan Negeri; Pejabat Daerah dan Tanah di kelima-lima daerah; Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) atas komitmen serta dedikasi dalam memastikan semua pembayaran Program i-Sejahtera Negeri Pulau Pinang berjalan lancar setiap tahun,” katanya.

Difahamkan, pada tahun 2024, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM50,542,400 kepada 280,633 penerima dalam pelbagai program kebajikan di bawah inisiatif Program i-Sejahtera merangkumi sumbangan tahunan serta sekali bayar (one-off) antara RM100 hingga RM200 seorang.

Exco Kebajikan, Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar; Setiausaha Bahagian (Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, BPEN), Kamarul Azlan Mustaffa serta para Pegawai Daerah dari lima daerah antara yang turut serta dalam sidang media berkaitan di sini.

Pada sidang media sama, Kon Yeow turut menyampaikan sumbangan kepada penerima terpilih sebagai simbolik bayaran Program i-Sejahtera Fasa 1 Tahun 2025 yang bermula hari ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT