30 belia, ibu tunggal sekitar Batu Kawan sertai kursus barista

KETUA Menteri (kiri sekali) turut cuba melakukan barista sebagai gimik perasmian kursus berkaitan sambil disaksikan oleh Goh Choon Aik (kanan sekali) di Pusat Khidmad Rakyat Parlimen Batu Kawan di Iconic Point, Simpang Ampat di sini pada 25 November 2023.

BUKIT TAMBUN – Seramai 30 peserta menyertai kursus barista yang dianjurkan secara bersama oleh Pusat Khidmat Parlimen Batu Kawan dan Kelab Pembangunan TVET & Usahawan Pulau Pinang di sini pada pagi ini (25 November 2023).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata bahawa pihaknya berharap program kolaborasi tersebut dapat memperkasakan lagi golongan berpendapatan rendah khususnya belia serta ibu tunggal yang bermastautin di sekitar kawasan parlimen ini.

SEMASA berucap, Ketua Menteri (berdiri, kanan sekali) turut menjelaskan manfaat di sebalik Bajet 2024 Pulau Pinang yang dibentangkan semalam (24 November 2023) untuk peniaga kecil sepenuh masa terutama belia dan golongan kurang mampu di Pulau Pinang.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi, program seumpama kursus barista tersebut juga diharap dapat memberi pendedahan awal mengenai hala tuju kerjaya kepada kelompok belia yang baru tamat persekolahan supaya mereka dapat menceburi sesuatu pekerjaan berdasarkan kepada minat serta keupayaan masing—masing.

“Pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh melalui penyertaan dalam kursus-kursus yang disediakan ini boleh dimanfaatkan oleh para peserta untuk menjana pendapatan masing-masing.

“Paling penting program seumpama ini membolehkan para peserta turut menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negeri,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota semasa merasmikan kursus tersebut di Pusat Khidmat Parlimen Batu Kawan dekat Simpang Ampat pada 25 November 2023.

BARISAN pemimpin negeri (duduk) merakamkan gambar kenangan dengan para peserta kursus barista di sini pada pagi tadi.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo yang juga ADUN Perai; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pengarah Pejabat Ahli Parlimen Batu Kawan dan KADUN Padang Kota, Ewe Chee Way dan Pengerusi Kelab Pembangunan TVET (Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional) dan Usahawan Pulau Pinang, Mohamad Fakarudin Md. Farok turut sertai majlis perasmian kursus tersebut.

Selain kursus barista, Kon Yeow memberitahu bahawa tiga kursus lain turut dianjurkan iaitu kursus teknologi retort (10 Disember 2023), kursus fotografi (16 Disember 2023) serta Program Keusahawanan Telekomunikasi yang mana syarikat redOne Network Sdn. Bhd. akan menghubungi pemohon yang dipilih dalam masa dua minggu lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu bahawa dalam Bajet 2024 Pulau Pinang yang dibentangkan semalam turut memberi tumpuan kepada program insentif bantuan kepada peniaga kecil sepenuh masa termasuk golongan kurang upaya serta belia.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa MMK Luar Bandar memperuntukkan sejumlah RM250,000 atau RM50,000 setiap daerah untuk pembangunan pendekatan berkenaan.

“Program ini telah dan sedang dilaksanakan di bawah Program Peningkatan dan Pemulihan Ekonomi (bantuan peralatan) Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mana bertujuan untuk membantu peniaga kecil sepenuh masa termasuk golongan kurang mampu yang menjalankan perniagaan.

“Individu yang telah menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya satu tahun dan berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan adalah layak untuk mendapatkan bantuan peralatan iaitu dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan sedia ada,” ulasnya sambil menyatakan bahawa Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) turut menganjurkan program pembangunan belia dan sukan di negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT