30 pasukan bakal berentap Debat Piala Ketua Menteri

Admin
d6cf4ba1 a51a 4ac4 903e 9a9941fcd7fa

GEORGE TOWN – Buat julung kalinya, bertemakan Ekosistem Terpadu: Mencapai Visi Penang 2030, sebanyak 30 pasukan bakal berentap dalam Pertandingan Debat Piala Ketua Menteri Pulau Pinang 2024.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa tema penganjuran tersebut adalah seiring dengan usaha Kerajaan Negeri untuk melestarikan pembangunan negeri secara menyeluruh serta turut menyentuh aspek pembangunan keusahawanan dan luar bandar selaras dengan gagasan Visi Penang2030.

“Menerusi pihak Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai tuan rumah, Pertandingan Debat Piala Ketua Menteri Pulau Pinang Edisi 2024 ini bakal berlangsung selama tiga hari bermula 18 sehingga 20 Oktober 2024.

“Selain itu, penganjuran tersebut juga bakal menyaksikan sebanyak 30 pasukan yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah berentap bagi merebut gelaran juara,” ujarnya semasa sesi sidang media Pra Pelancaran Pertandingan Debat Piala Ketua Menteri Pulau Pinang 2024 dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol; Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Datin S. Bharathi; Timbalan Setiausaha Bahagian (Makro Pembangunan) Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang (BPEN), Rosli Othman serta wakil-wakil jabatan dan dif-dif kehormat.

b38f6f84 0733 4055 aed9 80ae8c883371
KETUA Menteri.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa penganjuran berkenaan adalah bersesuaian sebagai platform anak-anak muda untuk menyerlahkan bakat masing-masing.

“Sebagai sebuah negeri yang mementingkan pembangunan sosial dan ekonomi secara seiring, saya percaya pertandingan ini adalah sesuai bagi memberi peluang kepada anak-anak muda untuk menyerlahkan bakat serta berkongsi idea yang kritis dan progresif.

“Di samping itu, medan perdebatan tidak dapat disangkal lagi mampu mencabar kemahiran berfikir, literasi dan komunikasi dalam kalangan para peserta bagi mewujudkan persaingan yang sihat sekaligus melahirkan generasi minda kelas pertama demi merealisasikan Visi Penang2030 dan Malaysia Madani,” ujarnya yang juga merupakan Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Bercakap mengenai hadiah yang bakal ditawarkan, Kon Yeow memaklumkan bahawa pasukan pemenang akan membawa pulang wang tunai serta trofi.

“Jumlah wang tunai yang ditawarkan adalah sebanyak RM5,000 berserta trofi kemenangan.

“Justeru, pada kesempatan ini, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Dato’ Rashidi yang telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan pertandingan ini buat julung kalinya,” ulasnya  lanjut.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI