30 sukarelawan CPR-AED terima pengiktirafan Kerajaan Negeri

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 30 sukarelawan yang berjaya mempraktikkan latihan ‘Cardiopulmonary Resuscitation’ atau CPR menggunakan Automated External Defibrillator (AED) menerima penghargaan daripada Kerajaan Negeri.

Sijil penghargaan tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Komtar, di sini sebentar tadi.

Kon Yeow berkata, penghargaan tersebut adalah sebagai memberi galakan kepada anggota-anggota pasukan daripada badan-badan berkaitan yang telah bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dalam menjayakan program Penang Heart-Safe.

“Seramai 30,000 individu daripada pelbagai peringkat komuniti telah didedahkan melalui sesi pendidikan serta latihan CPR-AED dari semasa ke semasa dan diharapkan usaha ini dapat diteruskan.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak-pihak terlibat dan diharapkan pengiktirafan ini dapat menggalakkan lebih ramai anggota pasukan beruniform serta komuniti untuk mengambil peluang melibatkan diri dalam program yang penting ini,” ujarnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Turut serta Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam sekitar); Yeoh Soon Hin (Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan); Pengerusi Program Penang Heart-Safe, Datuk Dr. Luah Lean Wah; Komander St. John Ambulance Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. Yee Thiam Sun serta ramai lagi.

Dalam pada itu, Afif memberitahu bahawa sebanyak 64 mesin AED berjaya diletakkan di tempat awam, sekolah dan institusi-institusi awam di negeri ini sejak program  tersebut dimulakan pada 2015.

“Seramai 25,000 penduduk di negeri ini telah mengambil bahagian dalam sesi latihan pendidikan CPR-AED yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Program yang bermanfaat ini telah mencapai beberapa kejayaan kerana telah menyelamatkan beberapa mangsa serangan jantung dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini,” ujarnya.

Afif menyatakan bahawa antara kes-kes yang telah berjaya diselamatkan adalah melibatkan pemain bola sepak berusia 49 tahun pada 2 September 2018.

“Selain itu, pada 30 Oktober 2019, seorang pemandu lori berumur 68 tahun yang mengalami serangan jantung juga berjaya diselamatkan, dan terbaru pada 24 November lalu melibatkan dua pelari dalam acara ‘Penang Bridge Run’ masing-masing berusia 54 dan 59 tahun telah diselamatkan dengan kemudahan AED,’’ ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : CHAN KOK KUAN