300 pelajar di sekitar Paya Terubong terima bantuan pakaian seragam sekolah

Admin

PAYA TERUBONG – Sejumlah 300 murid-murid sekolah rendah dan menengah di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Paya Terubong menerima sumbangan pakaian seragam sekolah hari ini.

Majlis pemberian disempurnakan sendiri Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Yeoh Soon Hin.

Menurut Soon Hin, untuk tujuan tersebut beliau memperuntukkan sebanyak 140 set pakaian seragam sekolah, manakala selebihnya (160) adalah hasil sumbangan daripada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

“Tujuan program ini diadakan adalah bagi membantu keluarga yang susah dan golongan isi rumah B40 membuat persediaan persekolahan awal tahun hadapan,” ujarnya sambil memberitahu bahawa ia adalah program tahunan yang dianjurkan beliau sebelum bergelar Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH) lagi.

Program Bantuan Pakaian Seragam Pelajar Sekolah berkenaan dianjurkan bersama oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Semarak Api dan MPKK Lebuh Relau.

Difahamkan bahawa, selain 300 set pakaian seragam berkenaan, Pejabat KADUN Paya Terubong turut menerima sejumlah 120 set pakaian dari Pusat Urus Zakat (PUZ) untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar Islam di kawasan berkenaan sempena Program Kembali ke Sekolah Tahun 2020.

Justeru, di kesempatan itu, Soon Hin menyeru para pelajar untuk menyerlah potensi diri dan menjadi kebanggaan ibu bapa, komuniti, negeri serta negara.

“Para pelajar perlu rajin dan tekun menuntut ilmu sebagai membalas jasa dan budi ibu bapa kita yang telah banyak bersusah payah, jadilah seorang yang berguna dan membanggakan semua orang,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN