308 terima APC 2021, Ketua Menteri harap Visi Penang2030 direalisasikan bersama

Admin
KETUA Menteri (tiga dari kiri) diiringi Ahmad Jailani Muhamed Yunus (dua dari kiri) menyampaikan anugerah APC kepada salah seorang penerima di sini pada petang tadi.

PANTAI JEREJAK – Setelah dua tahun tidak melaksanakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) ekoran pandemik COVID-19, hari ini Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang kembali menganjurkan acara tahunan itu bagi meraikan 308 warga kerja yang telah mempamerkan perkhidmatan cemerlang yang ditetapkan sepanjang tempoh tahun 2021.

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya bangga dengan prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh sekalian penerima anugerah demi mencapai visi jabatan kerajaan masing-masing sekali gus menjayakan aspirasi Kerajaan Negeri melalui Visi Penang2030 dengan tema ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’.

“Penghasilan kerja cemerlang melalui tindakan yang cepat, pantas dan tepat bukan sahaja merupakan harapan Kerajaan Negeri terhadap pelaksanaan tugas oleh penjawat awam malah juga harapan besar oleh semua pemegang taruh kepada golongan berkaitan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong dalam majlis berkaitan di sini pada 7 Jun 2022.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut memberitahu bahawa semua penjawat awam seharusnya kreatif, inovatif serta cepat menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran terutama pasca pandemik COVID-19 selama hampir dua tahun lepas demi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan serta penyampaian di tempat kerja masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut menyeru sekalian penjawat awam di negeri ini supaya turut memberi tumpuan kepada aspek kekeluargaan, hidup dalam kesejahteraan, kehijauan, ketenteraman serta ke arah negeri pintar sebagaimana berlandaskan Visi Penang2030.

Sebelum itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus turut berucap pada majlis tersebut.

“Pandemik COVID-19 telah banyak mengajar kita (sekalian penjawat awam negeri) untuk berani berubah mengikut persekitaran yang berubah bagi merealisasikan Visi (Penang2030) peringkat Kerajaan Negeri,” ulasnya.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah; Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan barisan Pegawai Kanan berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN