309 terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022

Admin
BEBERAPA penjawat awam yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 mengambil kesempatan berswafoto dengan Ketua Menteri seusai majlis berkaitan di Bertam Resort di sini pada 8 Mei 2023.

BERTAM – Seramai 309 penjawat awam cemerlang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 di sini pada 8 Mei 2023.

KETUA Menteri

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap penyampaian anugerah itu akan memberi suntikan semangat kepada para penjawat awam lain untuk terus memberi perkhidmatan terbaik sekali gus memenuhi ekspektasi rakyat yang begitu tinggi kepada sektor perkhidmatan awam kini.

“Ekspektasi rakyat terhadap penjawat awam menuntut setiap daripada kita untuk terus memberikan komitmen yang tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.

“Justeru, kita semua perlu memastikan perkhidmatan awam berada seiring dengan dasar kerajaan, khususnya dalam usaha memantapkan modal insan dengan kompetensi masa hadapan dan pengukuhan perkhidmatan berpaksikan teknologi digital,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam majlis berkaitan.

Di samping itu, Kon Yeow berkata bahawa meskipun wujud stigma negatif berkaitan penerima APC, beliau yakin dan percaya masih ramai yang sedang dan telah berusaha dalam melunaskan tanggungjawab serta amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi, cekap dan produktif.

Berucap sebelum itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar memberitahu bahawa pihaknya berharap semua penjawat awam di negeri ini supaya terus menghayati tema Penjawat Awam Cemerlang Meneraju Visi Penang2030 yang digagaskan oleh pemimpin Kerajaan Negeri hari ini.

“Berbaki tujuh tahun sebelum tahun 2030, usaha dan komitmen seluruh warga pentadbiran awam negeri perlu digembleng ke arah merealisasikan wawasan Kerajaan Negeri tersebut,” ujarnya.

Pegawai Kewangan Negeri, Zabidah Safar; Mufti Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, YAA Dato’ Muhamad Abdul Karim Wahab dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah merupakan antara barisan pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai majlis penghargaan APC tersebut.

NUAR Rizal Kamarudin

Penolong Pegawai Tadbir di Jabatan Kewangan Negeri, Nuar Rizal Kamarudin yang ditemui kemudian memberitahu bahawa beliau menzahirkan rasa terharu kerana tersenarai sebagai penerima APC 2022.

“Selepas 15 tahun berkhidmat pada peringkat Persekutuan dan negeri, ini kali pertama dapat APC, macam-macam perasaan ada (antaranya) rasa bersyukur dan akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan di negeri ini,” katanya yang sudah berkhidmat di Pulau Pinang sejak tahun 2016.

MUHAMMAD Fadzli Mat Esa

Nada hampir serupa turut dikongsi oleh seorang lagi penerima APC 2022, Muhammad Fadzli Mat Esa yang kini merupakan Penghulu di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan.

“Sejak 2009 berkhidmat sebagai penjawat awam, ini kali pertama dapat APC peringkat negeri.

“Sebelum ini saya pernah dapat APC peringkat Persekutuan pada tahun 2014.

“Kalau ditanya tentang perasaan saya, tentulah rasa gembira.

“Dalam kegembiraan ini, sebagai penjawat awam saya menyambut baik ekspektasi rakyat yang mahu mutu perkhidmatan awam terus ditingkatkan.

“Banyak cabaran kerja sebagai penghulu, semua perkara kena ambil tahu peringkat komuniti, ini cabarannya dan saya sebagai penghulu mesti menyahut cabaran ini dan buat sehabis baik,” ulasnya.

AHMAD Zaini Effandy Mat Yusop

Berkhidmat di Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang sejak tahun 2008, Ahmad Zaini Effandy Mat Yusop berkata bahawa APC 2022 ini adalah kali kedua beliau terima.

“Kali pertama saya terima APC pada tahun 2016. Alhamdulilah hari ini dapat sekali lagi (APC 2022).

“Sebagaimana diamanatkan oleh YAB Ketua Menteri, saya bersetuju bahawa semua penjawat awam seharusnya cepat menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dalam perkhidmatan supaya kita tidak ketinggalan.

“Di peringkat Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang, saya secara peribadi tentunya akan berusaha dengan lebih gigih untuk meningkatkan mutu pelanggan, berusaha memperbaiki infrastruktur sedia ada di samping capaian internet dan sebagainya di perpustakaan awam negeri,” jelasnya sambil menganggap penganugerahan APC 2022 adalah pengiktirafan kepada seluruh ‘pasukan’ Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAR AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS