31 lokasi bazar Ramadan beroperasi di daerah Timur Laut, Barat Daya tahun ini – Ahli Majlis

Admin

GEORGE TOWN – Sebanyak 31 lokasi bazar Ramadan akan beroperasi bagi tahun ini membabitkan seramai 1,560 peniaga di bahagian pulau sepanjang bulan Ramadan yang dijangka bermula pada 23 Mac 2023.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) , Ahmad Azrizal Tahir berkata, MBPP telah meluluskan 31 lokasi bazar di bahagian pulau melibatkan 14 lokasi di daerah Timur Laut dan 17 lokasi di daerah Barat Daya.

“Sebanyak 36 permohonan diterima tahun ini, walau bagaimanapun atas sebab teknikal dan tidak memenuhi syarat maka hanya 31 (permohonan lokasi) sahaja dibenarkan,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan menerusi platform Zoom pada 21 Mac 2023.

Menurut Ahmad Azrizal, seperti tahun sebelum ini, pihaknya amat menitikberatkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

Antaranya adalah peniaga dan pembantu perlu mendapatkan suntikan tifoid (Ty2) serta sentiasa membawa kad suntikan berkenaan.

“Selain itu, peniaga dan pembantu juga perlu mengenakan sarung tangan bagi memastikan tiada sentuhan terus terhadap makanan; perlu memakai apron dan penutup kepala; menyediakan tong sampah bersesuaian saiz serta mengamalkan pengasingan sisa di punca dan kitar semula.

“Para peniaga juga tidak boleh menggunakan bekas makanan polistirena bagi tujuan mempamerkan atau membungkus makanan di samping memastikan makanan yang dimasak dan minuman yang disediakan tidak terdedah,” jelasnya.

Tambahnya lagi, peniaga juga perlu memastikan makanan yang disediakan atau dimasak berada pada suhu bilik tidak melebihi 4 jam; mengasingkan makanan mentah dan telah dimasak serta memastikan peralatan dan perkakasan yang digunakan tidak tercemar.

Paling utama, warga asing tidak dibenarkan untuk mengendali atau menguruskan perniagaan di bazar Ramadan.

“Pihak MBPP (di bawah Jabatan Pelesenan) juga menggalakkan peniaga mengambil inisiatif menggunakan kaedah bayaran tanpa tunai (cashless) dan menggalakkan orang ramai mempraktikkan amalan ‘Bring Your Own Container’ apabila berkunjung ke bazar Ramadan.

“Malah, para penganjur bazar juga bertanggungjawab ke atas aspek kebersihan di lokasi sebaik sahaja selesai perniagaan,” katanya.

Berikut adalah senarai bazar Ramadan di daerah Timur Laut dan Barat Daya :

Senarai lokasi di daerah Timur Laut.
Senarai lokasi di daerah Barat Daya.

 

 

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI