3,200 sertai kempen selamat kayuh basikal CFAL 5

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – 3,200 pengayuh basikal menyertai Acara Kempen Satu Lorong Kali Ke-5 (CFAL 5) sejauh 82 kilometer melalui jalan sekitar Padang Kota ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, Teluk Kumbar, Balik Pulau sebelum kembali ke garisan penamat dekat Padang Kota, di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri menyempurna upacara pelepasan program anjuran Rottary Club Tanjung Bungah serta G Club Penang Cyclist dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), seawal jam 7.00 pagi.

Lebih 100 peserta antarabangsa menyertai acara tersebut sungguhpun dalam hujan yang renyai.

Presiden G Club, Dr. Lim Seh Guan berkata, program kayuhan dalam satu lorong yang tidak menawarkan sebarang hadiah ini diharap dapat memupuk lagi budaya keselamatan dan disiplin kepada pengayuh basikal semasa di jalan raya.

“Kayuhan pada kali ini turut mencabar dari segi cuaca hujan, jalan yang licin, pastinya menuntut para peserta lebih berhati- hati.

“Ditambah pula laluanya merangkumi 80 peratus jalan berbukit, namun, saya berbangga kerana kesemua peserta berjaya menamatkan cabaran ini,” ujar beliau di sini baru-baru ini.

Beliau turut melahirkan rasa terharu kerana penyertaan program kali ini lebih memberangsangkan walaupun penganjur tidak menawarkan sebarang bentuk hadiah kejohanan.

Bagaimanapun, beliau berharap, acara cabutan bertuah berupa barangan aksesori basikal serta 12 unit basikal jenama Giant dalam pelbagai saiz dan jenis dapat menghargai semua pihak yang menyertai kempen gaya hidup selamat itu.