33 pemilik gerai di Medan Selera Tanjung Bunga bakal terima bantuan Zakat Pulau Pinang

TANJUNG BUNGA – Seramai 33 pemilik gerai makanan dan minuman di Medan Selera Tanjung Bunga yang musnah dalam kebakaran bakal menerima bantuan daripada Zakat Pulau Pinang.

 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa pihaknya melalui Zakat Pulau Pinang telah bersetuju untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada semua pemilik gerai makanan dan minuman di sini.

 

ZAIRIL Khir Johari (depan, kiri) memberi penerangan dan latar belakang kejadian kepada Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (depan, dua dari kiri) semasa lawatan ke lokasi tengah hari tadi.

“Seramai 18 pemilik gerai beragama Islam akan menerima wang zakat manakala baki 15 pemilik gerai yang bukan beragama Islam akan menerima wang daripada sumber am.

 

“Saya turut merasa simpati kepada semua mangsa yang terlibat semoga dipermudahkan segala urusan mereka selepas ini,” ujarnya yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang.

 

Ahmad Zakiyuddin berkata demikian sejurus hadir mengadakan lawatan ke tapak kebakaran di sini tengah hari ini.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Amran Hazali.

 

Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari yang turut berada di lokasi meluangkan masa hampir 60 minit mendengar rintihan pemilik gerai makanan dan minuman terlibat.

 

ZAIRIL Khir Johari.

 

Kebanyakan peniaga di sini adalah peniaga makanan dan minuman sepenuh masa dan apabila kebakaran terjadi maka mereka terputus sumber pendapatan.

 

“Saya akan cuba sedayanya membantu mereka (peniaga terjejas) termasuk isu keselamatan stok serta perkakasan gerai yang sering dicuri.

 

 

“(Dan) dalam masa yang sama berterima kasih kepada TKMI (Ahmad Zakiyuddin) serta Zakat Pulau Pinang atas bantuan kewangan yang bakal diberikan nanti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga.

KEADAAN medan selera yang hampir 70 peratus musnah.

 

 

Terdahulu, Zairil memaklumkan bahawa laporan penuh berhubung siasatan kebakaran masih lagi belum diketahui.

 

“Setelah laporan tersebut diterima, barulah pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan memaklumkan tindakan susulan,” katanya.

 

TAPAK yang dicadangkan sebagai tapak sementara perniagaan bertentangan medan selera berkaitan.

 

Difahamkan, pihaknya kini sedang dalam perbincangan bersama-sama MBPP sama ada untuk membenarkan peniaga berniaga di tapak sementara berdekatan tempat letak kereta dan tanah lapang bertentangan medan selera tersebut.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI