BAKAT MASAKAN… Kira-kira 350 peserta dari segenap pelusuk negara menyertai musim kedua acara Halal Chefs Challenge 2015, sempena penganjuran Ekspo dan Persidangan Halal Antarabangsa (PIHEC) 2015 bertempat di Subterranean Penang International Conference & Exhibition Centre (SPICE) baru-baru ini di sini.
Menariknya, chef berpengalaman dan pelajar bidang kulinari masing-masing kelihatan gigih membuktikan bakat masakan demi merebut kejuaraan dalam 19 kategori yang dipertandingkan.
Saingan kali ini diadili juri-juri profesional dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura bagi memilih penerima Anugerah Chef Masakan Moden, Anugerah Chef Masakan Melayu, Anugerah Chef Artis Halal dan Anugerah Chef Pastri Halal.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang yang berupa wang tunai berjumlah RM1,000, trofi dan sijil penyertaan.