GEORGE TOWN – Sebanyak 350 set peranti komputer bernilai RM320,950 bakal diagihkan kepada usahawan mikro layak di bawah Program Mikro Go Digital.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pemberian set peranti komputer tersebut akan membuka peluang lebih besar kepada para usahawan kecil untuk tingkat serta melonjakkan perniagaan masing-masing melalui platform e-dagang tanpa sempadan berbanding perniagaan tradisional yang bersifat fizikal kini.
“Pandemik COVID-19 telah mengubah hampir 100 peratus corak perniagaan sedia ada yang mana kini perniagaan dijalankan secara digital mengikut tuntutan dan kehendak semasa.
“Justeru, Kerajaan Negeri berharap dengan pemberian set peranti komputer ini, ia mampu meningkatkan daya usaha para usahawan mikro untuk menguasai ilmu digital, sekaligus membuka peluang lebih besar kepada mereka,” ujarnya pada sidang media Program Bantuan Khas Pemberian Set Peranti Komputer di bawah Skim Perintis Usahawan Mikro Go Digital di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Yeoh Soon Hin (Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif); Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar (Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC); Ku Zaleha Ku Iskandar (Pengurus Bahagian Usahawan PDC) dan Ngoo Seong Boon (Penasihat Teknikal Program Usahawan Mikro Go Digital).
Difahamkan, dana RM320,950 atau RM917 bagi setiap satu set peranti komputer tersebut adalah menggunakan peruntukan tabung PEKA PKS dikendalikan oleh PDC.
Sebagai memperincikan inisiatif berkenaan, Abdul Halim ketika berucap pada sidang media tersebut memaklumkan bahawa Program Usahawan Mikro Go Digital berkaitan adalah lanjutan daripada program Go Penang Digital e-Usahawan kendalian MMK Pembangunan Keusahawanan sejak tahun 2019.
“Di bawah program (Go Penang Digital e-Usahawan) ini, seramai 1,300 usahawan telah terlibat.
“Program ini adalah bertujuan membantu melahirkan golongan usahawan mikro yang pintar serta dapat memanfaatkan kemahiran digital bagi memasarkan produk mereka secara dalam talian sesuai dengan normal baharu pasca COVID-19 dan seterusnya beralih daripada model perniagaan tradisional.
“Kesemua 350 set komputer ini akan menggunakan peranti Ruggedized Next Unit of Computing (rNUC) bagi menggantikan unit pemprosesan pusat (CPU) yang mana rNUC adalah lebih tahan lasak serta ciri fizikalnya lebih kecil (compact) dan ergonomik berbanding CPU,” jelasnya.
Bagi usahawan yang layak, borang permohonan boleh dimuatnaik melalui laman sesawang www.pdc.gov.my mulai 25 November 2020 dan tarikh tutup permohonan adalah pada 9 Disember 2020.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : CHAN KOK KUAN