40 ADUN angkat sumpah, Law Choo Kiang dipilih semula sebagai Speaker DUN

Admin

GEORGE TOWN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sebulat suara mengekalkan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Dato’ Law Choo Kiang sebagai Yang Dipertua DUN (Speaker) bagi penggal yang baharu.

Usul melantik Choo Kiang dicadangkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow dan disokong oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga ADUN Batu Maung, Dato’ Mohamad Abdul Hamid dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama (Majlis Angkat Sumpah ADUN) DUN Pulau Pinang K-15 di sini sebentar tadi.

Law Choo Kiang kekal sebagai Speaker DUN bagi penggal ketiga.

Pada majlis sama, ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN bagi menggantikan Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah.

Azrul Mahathir yang memenangi kerusi DUN Bayan Lepas selama dua penggal merupakan Naib Presiden II merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang.

Turut berlangsung, majlis mengangkat sumpah jawatan 40 ADUN di hadapan Yang Dipertua DUN yang dimulakan dengan Ketua Menteri yang juga ADUN Padang Kota dan diikuti 10 Exco serta barisan ADUN yang lain.

Azrul Mahathir Aziz yang dipilih sebagai Timbalan Speaker DUN.

Choo Kiang dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua ADUN atas pelantikan tersebut.

“Terima kasih atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada saya untuk memimpin Dewan yang mulia ini.

“Dengan kepercayaan diberikan ini, saya akan berusaha untuk menjalankan tugas-tugas dan kewajipan sebagai Speaker DUN dengan sempurna demi menegakkan perlembagaan negeri dan memastikan semua peraturan mesyuarat adalah dipatuhi.

“Tahniah juga diucapkan kepada semua wakil rakyat yang telah dipilih dalam Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) baru-baru ini.

“Sehubungan itu, dengan mandat yang diwakilkan oleh rakyat untuk kepentingan mereka dalam Dewan ini, saya berharap agar semua ADUN sentiasa memahani serta mematuhi peraturan mesyuarat dengan penuh berdisiplin dan berintegriti tanpa mengira fahaman politik,” katanya.

Persidangan DUN kemudiannya ditangguhkan pada jam 11 pagi.

Dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa semua ADUN Pulau Pinang termasuk 11 orang dari blok pembangkang akan mendapat peruntukan masing-masing yang berbaki bagi suku tahun keempat 2023.

Ketua Menteri pada sidang media.

“Peruntukan kepada pembangkang pada ketika ini masih kekal sebab sekarang sudah masuk suku terakhir (2023), jadi, semua ADUN yang baharu akan menguruskan peruntukan yang masih baki bagi penggal yang lepas.

“Bagi (11 ADUN) pembangkang adalah sama, kalau ada baki peruntukan itu, akan digunakan baki peruntukan itu.

“Kita akan meneruskan dasar pemberian peruntukan sama kepada ahli-ahli dewan sama ada Kerajaan mahupun pembangkang secara kekal tak sama rata,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF & ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & ALISSALA THIAN