GEORGE TOWN – Seramai 40 gelandangan berjaya ‘diselamatkan’ dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan sekitar kawasan Masjid Kapitan Keling di sini selama hampir tiga jam, bermula pada 12.00 tengah malam tadi.
Hasil saringan awal mendapati mereka antaranya adalah 10 bukan warganegara, 10 pesakit kronik, tiga kes psikologi, dua tiada dokumen pengenalan diri, seorang penduduk tetap (PR) dan seorang lagi ditahan kerana di bawah pengaruh dadah jenis morfin.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim ketika ditemui berkata bahawa lima daripada gelandangan yang berjaya diselamatkan ditempatkan di Pusat Transit Gelandangan (PTG) Pulau Pinang dekat Jalan C.Y. Choy, sementara lapan lain dibebaskan dengan amaran.
“Tujuan operasi bersepadu pada kali ini adalah untuk menyelamat mereka, selepas kita (Pihak Berkuasa Negeri) menerima banyak aduan kacau ganggu di sekitar Jalan Kampung Kolam, Masjid Kapitan Keling, Lebuh Leith dan Lebuh Chulia yang mana ini adalah antara kawasan tumpuan pelancongan.
“Hasil siasatan mendapati ada dalam kalangan gelandangan ini datang dari negeri lain seperti Sarawak, Johor dan Kedah (yang mana) operasi bersepadu ini berusaha menyelamat mereka, cuba kesan masalah sebenar mereka sehingga kekal gelandangan di kaki lima sekitar bandar raya ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa Operasi Bersepadu Selamatkan Gelandangan tersebut dilaksanakan berdasarkan Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183).
Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau memberitahu bahawa 10 gelandangan bukan warganegara berkenaan diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pulau Pinang untuk proses selanjutnya.
“Daripada 40 gelandangan yang berjaya diselamatkan dalam operasi pada kali ini, seramai tujuh dewasa iaitu enam lelaki dan seorang wanita serta serta tiga kanak-kanak di bawah usia 12 tahun adalah bukan warganegara.
“Mereka (kanak-kanak berkenaan) tiada dokumen pengenalan diri, sukar untuk dikenal pasti status kewarganegaraan mereka selepas sesi siasatan lanjut dilaksanakan terhadap waris mereka.
“Mereka akan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut; direman selama 14 hari untuk membantu proses siasatan.
“10 gelandangan berkenaan ditahan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa sebarang dokumen pengenalan diri atau permit yang sah.
“Kertas siasatan akan dibawa ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan bergantung pada arahan TPR untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Balai Polis Central, Inspektor Mohd Firdaus Ishak dengan dibantu oleh Ketua Operasi, Sarjan Mazlan Othman yang mengetuai operasi bersepadu pada kali ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran dan dua Ahli Majlisnya, Benji Ang Ming Quan dan Lee Wei Seang; Pegawai Penguatkuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang, N. Jamuna Naidu; Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang, Roswati Apin; Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Izham Idris; Penyelia Penolong Pegawai Perubatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Mohammed Rosdi; Penghulu Asri Ahmad; dan Penghulu Mohd. Hizer Omar turut sertai operasi bersepadu tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR