40 kakitangan terpilih JKSNPP terima pek bantuan musaadah COVID-19 YaPIEM

Admin
ANTARA para penerima pek bantuan Food Bank YaPEIM 2.0 Inspirasi Musaadah Covid-19 yang berlangsung di Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang di sini pada 17 Disember 2020.

DATUK KERAMAT – Seramai 40 kakitangan terpilih di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang (JKSNPP) yang dikenal pasti terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima pek bantuan bekalan makanan menerusi program Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) 2.0 Inspirasi Musaadah COVID-19.

YAA Dato’ Muhamad Abdul Karim Wahab (kiri) bersama-sama Mohd Fauzi Adnan dalam sidang media di sini.

Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, YAA Dato’ Muhamad Abdul Karim Wahab ketika berucap menyempurnakan penyampaian pek tersebut, memuji program ta’awun yang dilaksanakan oleh agensi persekutuan tersebut demi membela kakitangan kerajaan yang beragama Islam di negeri ini.

“Walaupun kakitangan kerajaan tidak terjejas daripada sudut gaji, tetapi pendapatan isi rumah mungkin terjejas sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu, disebabkan ada pasangan mereka yang diberhentikan atau diminta cuti tanpa gaji.

“Jadi, pada kesempatan ini, saya memuji usaha ta’awun (saling bantu-membantu) yang dilakukan oleh YaPEIM dengan membantu kakitangan di JKSNPP, juga (kakitangan terpilih di bawah) Jabatan Mufti Pulau Pinang, yang dikenal pasti berada dalam kelompok B40,” jelasnya dalam Malam Majlis Penyampaian Sumbangan Program Food Bank YaPEIM 2.0 di Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang di sini pada 17 Disember 2020.

Turut berucap, Pengerusi YaPEIM Wilayah Utara (Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang), Mohd. Fauzi Adnan.

Hadir sama, Timbalan Mufti Pulau Pinang, Sohibus Fadhilah Tuan Haji Yusoff Abu Bakar, Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah, Hasniah Hassan serta Pengerusi MBJ, YA Wan Mahyudin Wan Muhammad.

Di samping itu, Muhamad Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Bersama Jabatan (MBJ) JKSNPP serta pejabat Mufti Pulau Pinang kerana sehingga kini begitu peka terhadap isu kebajikan ahli-ahli MBJ dalam mengharungi pandemik COVID-19.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menggalakkan kakitangan kerajaan supaya menyalurkan sumbangan bantuan COVID-19 menerusi YaPEIM, dengan membuat pemotongan gaji masing-masing.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB