PENAGA – Tanpa mengira keturunan, latar belakang dan fahaman politik, sebanyak 40 keluarga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga berasa amat bersyukur apabila menerima sumbangan 10 kampit beras lima kilogram (kg) di sini baru-baru ini.
Anak kepada salah seorang penerima yang merupakan pengidap penyakit angin ahmar hanya dikenali sebagai Sabri berkata, beliau berasa amat bersyukur dengan sumbangan yang diberikan.
“Bagi menanggung kos perubatan ibu, gaji saya sebagai penyelia kilang adalah tidak mencukupi. Dengan ini, kami terpaksa berkongsi perbelanjaan ini antara adik- beradik. Dengan sumbangan ini, Insya-Allah, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban tanggungan kami sekeluarga di dalam tempoh dua tiga ini,’’ katanya di sini.
Sumbangan kepada 40 keluarga kurang berkemampuan di kawasan DUN Penaga telah disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras DUN Penaga, Rosidi Hussain dengan bantuan 15 remaja yang menggunakan insiatif menunggang motosikal memasuki seluruh kawasan DUN Penaga bagi mengagihkan sumbangan berkenaan.
Turut hadir adalah Pengerusi JKKK Pasir Gebu, Ridwan Osman dan Ketua Pemuda Parti Islam Semalaysia (PAS) Kepala Batas, Hafiz Yang.
Rosidi yang juga Ahli Mesyuarat Majlis Agama Islam Pulau Pinang memberitahu, keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan renyai-renyai pada hari berkenaan langsung tidak melunturkan semangat beliau serta rakan-rakan seperjuangan untuk menjalankan kewajipan kepada rakyat jelata.
”Turut diadakan secara serentak adalah pendaftaran Program Penghargaan Warga Emas, pengedaran SUARA CAT dan juga risalah-risalah yang dikeluarkan Kerajaan Negeri,’’ jelas beliau.