40 sukarelawan bawa keluar 769.4kg sampah sarap dari Pulau Gazumbo dihargai

Majlis Penutup Program Membersihkan Pulau Gazumbo di premis PSC di sini pada petang tadi.

TANJUNG BUNGA – Seramai 40 sukarelawan daripada Kelab Renang Pulau Pinang (PSC), Penang Green Council (PGC), Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 9:00 pagi tadi mengotorkan tangan masing-masing dengan memungut sampah sarap yang bertimbun di Pulau Gazumbo berhampiran Jambatan Pulau Pinang.

Selama kira-kira tiga jam, kumpulan sukarelawan itu berjaya mengutip botol plastik seberat 366.4 kilogram (kg) atau 124 guni, sampah sarap (251kg atau 38 guni), botol kaca (78kg atau 5 guni) dan sebagainya di persisiran pantai; sebelum masuk ke kawasan hutan tebal di pulau tersebut bagi menjejaki timbunan sisa pepejal lain.

Selepas ditimbang, kira-kira 769.4kg sisa dibawa keluar dari pulau berkenaan.

Berucap dalam majlis berkaitan selepas itu, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini akan terus memperkasakan dasar pengasingan sisa di punca dan program kitar semula di samping langkah penguatkuasaan bagi menangani isu lambakan sisa di tapak ‘sampah haram’ di Pulau Pinang.

“Salah satu cara untuk mengurangkan penjanaan sisa adalah dengan melaksanakan dasar pengasingan sisa di punca.

“Contohnya, pada hari Isnin hanya sisa kertas sahaja akan dikumpulkan, maka tiada lagi (sisa kertas); hanya sisa plastik akan dikumpulkan pada Rabu; dan sisa kaca pada hari Jumaat.

“Dengan cara sebegini sekali gus akan mengurangkan penghantaran sampah-sarap ke Tapak Pelupusan Sampah (Pulau Burung).

“Kita (Kerajaan Negeri melalui agensinya PGC) akan terus menyemarakkan kesedaran dalam isu lambakan sampah ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu dalam Majlis Penutup Program Membersihkan Pulau Gazumbo di premis PSC di sini pada 26 Februari 2022.

ADUN Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari yang juga Exco Infrastruktur dan Pengangkutan turut berucap pada majlis tersebut.

Pengurus Besar PGC, Josephine Tan dan Pengarah CEMACS USM, Datuk Dr. Aileen Tan turut sertai majlis penutup berkenaan sebagai menghargai sekalian sukarelawan yang terlibat membersihkan sampah sarap yang bertimbun di Pulau Gazumbo.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB