GEORGE TOWN – Melalui Trash Free Hill 2023, seramai 400 sukarelawan berdaftar termasuk 45 kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) menjelang tengah hari tadi berjaya memungut sampah seberat 125.02 kilogram (kg) di sekitar puncak Bukit Bendera.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata inisiatif agensi negeri, Perbadanan Bukit Bendera menganjurkan program kolaborasi tersebut dengan sokongan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang, USM, Penang Green Council, The Habitat dan beberapa rakan penaja lain sejak 6.30 pagi tadi sekali gus mengukuhkan status Tapak Rizab Biosfera Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tersebut.
“Saya percaya kalian akan bersetuju bahawa Bukit Bendera adalah destinasi begitu istimewa yang mana tapak rizab biosfera UNESCO di sini menunjukkan betapa sempurnanya manusia dan alam semula jadi boleh wujud secara seiringan dan harmoni.
“Lebih bermakna Bukit Bendera telah menempuhi pelbagai perubahan selama 100 tahun ini, yang mana sistem keretapi kabel funikular beroperasi kira-kira 100 tahun juga, sejak mula beroperasi pada 21 Oktober 1923 direkodkan telah membawa lebih 48 juta penumpang (dari Stesen Bawah ke puncak Bukit Bendera,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai semasa merasmikan majlis berkaitan di dataran terbuka dekat Stesen Atas Bukit Bendera di sini pada 15 Oktober 2023.
Kata Sundarajoo lagi, penganjuran Trash Free Hill 2023 tersebut juga diharap menghantar mesej kempen kepada semua berhubung peri penting menjaga alam semula jadi serta meningkatkan daya tahan alam semula jadi bagi mendepani risiko perubahan iklim.
Di samping itu, beliau berkata program sukarelawan tersebut adalah selari dengan tema Visi Penang2030 iaitu Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara demi memperkasa rakyat serta meningkatkan penyertaan masyarakat lokal di negeri ini.
Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera, Dato’ Cheok Lay Leng turut serta dalam majlis tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN