O l e h : ZAINULFAQAR YAACOB
BUTTERWORTH – Seramai 400 bakal mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) bagi sesi pengambilan baru menerima Bantuan Permulaan Ke Universiti fasa kedua tahun ini melalui Zakat Pulau Pinang baru-baru ini.
Zakat Pulau Pinang telah memperuntukkan sejumlah RM314,000 bagi tujuan tersebut.
Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man berkata, mereka yang dipilih menerima sumbangan itu atas kelayakan asnaf Fi Sabilillah.
“Saya berharap sumbangan ini dapat mengurangkan beban permulaan masuk ke IPT yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa nanti,” ujar Mohd. Salleh di Dewan Haji Ahmad Badawi di sini baru-baru ini.
Mohd. Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, bantuan pendidikan tersebut bukanlah berstatus biasiswa pendidikan sepertimana yang dianggap oleh segelintir umat Islam di negeri ini.
“Ia merupakan pemberian wang zakat bagi membantu bakal mahasiswa yang bakal meneruskan perjuangan pada masa hadapan,” ujarnya.
Selain itu, beliau menasihati semua penerima bantuan supaya amanah dengan pemberian yang diterima serta tidak membelanjakan wang bantuan tersebut untuk perkara syubhah, seperti membeli rokok dan sebagainya.
Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang, Dr. Azman Abdul Somat turut berucap pada majlis tersebut.
Dalam perkembangan sama, Pengurus Persatuan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Butterworth, Adnan Jamaluddin turut menyerahkan cek berjumlah RM42,294, zakat perniagaan kepada Zakat Pulau Pinang melalui Mohd. Salleh.