SUNGAI DUA – Seramai 4,154 asnaf dan fakir miskin di negeri ini menerima manfaat bernilai RM4.47 juta melalui Program Nur Ramadan 2024 oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP).
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, sebanyak RM2,907,800 diperuntukkan dalam bentuk sumbangan tunai dan RM1,565,400 berupa sumbangan hamper.
“Setiap orang penerima akan menerima wang tunai sebanyak RM700 dan hamper e-tunai yang bernilai RM100.
“Pada peringkat awal pelaksanaan, program ini hanya melibatkan asnaf, fakir dan miskin yang menerima bantuan kewangan bulanan dan bantuan makanan bulanan sahaja.
“Bermula tahun 2008, Program Nur Ramadan diperluaskan yang mana sumbangan hamper turut dipertimbangkan melalui permohonan dari Pusat-Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Penyelaras DUN, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” ujarnya pada majlis serahan sumbangan yang berlangsung di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam, di sini semalam.
Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Nor; Timbalan Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Dr. Roslan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali.
Mohamad yang juga ADUN Batu Maung memberitahu bahawa penyediaan peruntukan untuk sebarang inisiatif berimpak tinggi juga merupakan salah satu strategi dalam merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat.
“Hala tuju Kerajaan Negeri melalui Visi Penang2030 adalah selari dengan hasrat Ekonomi MADANI yang mahu menoktahkan kemiskinan tegar terutama di negeri Pulau Pinang.
“Maka momentum pelaksanaan dari Program Nur Ramadan ini adalah berpaksikan hala tuju yang sama bagi membolehkan agenda pembasmian kemiskinan dalam kalangan masyarakat Muslim di negeri ini dapat dijayakan dengan seoptimum mungkin,” kata Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat itu lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS