4,204 usahawan mikro terima manfaat Skim Pinjaman Harapan

Admin
whatsapp image 2024 05 29 at 15.56.11

GEORGE TOWN – Seramai 4,204 usahawan mikro di negeri ini telah menerima manfaat daripada Skim Pinjaman Harapan (SPH) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri sehingga 24 Mei tahun 2024.

Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol berkata jumlah itu adalah membabitkan nilai pinjaman berjumlah RM29.02 juta.

“Kadar kutipan SPH pada ketika ini adalah 91 peratus, manakala baki dana pula sebanyak RM5.52 juta,” katanya pada sesi penggulungan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 dekat sini sebentar tadi.

Di samping itu, Rashidi berkata seramai 1,162 usahawan terima manfaat daripada 230 program pembangunan usahawan yang telah dijalankan membabitkan agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Dari Januari hingga Mei 2024, jumlah program keusahawanan yang telah dijalankan bersama agensi di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Keusahawanan adalah sebanyak 230 program.

“Antara agensi yang terlibat adalah Pejabat Mara Pulau Pinang, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Penang Halal International (PHI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan pelbagai agensi yang memberi manfaat kepada 1,162 usahawan,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga menyasarkan untuk menyediakan 200 ruang perniagaan menjelang tahun 2030 bagi merancakkan lagi pembangunan usahawan di negeri ini.

“Walaupun sasaran hanyalah 200 unit, namun Kerajaan Negeri pada hari ini telah berjaya menyediakan sejumlah 335 unit di bawah seliaan PDC yang merangkumi kawasan di daerah Seberang Perai Tengah, Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai Selatan.

“Jumlah ini tidak termasuk tambahan hampir 13,000 ruang premis gerai yang disediakan melalui kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri,” jelasnya.

Mengulas mengenai cadangan ADUN Batu Uban, A. Kumaresan supaya Kerajaan Negeri mempertimbangkan penyediaan kedai berkonsep kontena kepada penjaja tanpa lesen tetap di kawasan berkaitan, Rashidi berkata perkara itu boleh dipertimbangkan.

“Cadangan tersebut boleh dipertimbangkan dengan mengambil kira kajian kebolehlaksanaan dan analisis kos agar pelaksanaannya lebih berdaya maju sekali gus memberi manfaat secara optimum kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Menyentuh mengenai isu kenaikan sewaan premis perniagaan di bawah seliaan Perda pula, beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira semua asas pertimbangan seperti tiada kenaikan dalam tempoh 20 tahun.

“Kadar sewaan Perda adalah antara yang terendah di pasaran serta mengikut asas kadar pasaran sewaan semasa dan kenaikan ini juga adalah bagi menanggung kos kerja-kerja penyelenggaraan yang turut meningkat.

“Walau bagaimanapun, pertimbangan akan diberikan oleh Perda kepada sebarang rayuan dari semasa ke semasa,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF

Gambar: MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR