Bayaran Program i-Sejahtera fasa akhir 2018 pada 17-23 November

GEORGE TOWN – Pembayaran bagi Program-program i-Sejahtera akan dilakukan secara serentak mulai 17 hingga 23 November ini.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh berkata, pembayaran tersebut aadalah melibatkan empat program iaitu Program Penghargaan Warga Emas Fasa 3, Program Bantuan Ibu Tunggal Fasa 2, Program Ibu Emas Fasa 2 serta Skim Pelajar Emas Fasa 2.

“Pembayaran akan dilakukan di semua Pejabat Tanah dan Daerah Negeri Pulau Pinang dari jam 9 pagi sehinga 4 petang melibatkan jumlah keseluruhan penerima sebanyak 22,274 orang.

“Kaunter khas akan dibuka pada 17 hingga 18 November dari jam 10 pagi hingga jam 3 petang.

“Manakala bagi pembayaran biasa akan dibuka pada 19 hingga 23 November dari jam 9 pagi hingga jam 4 petang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Puyu dalam kenyatan media di sini hari ini.

Sebagai rekod, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Daerah Timur Laut mencatatkan jumlah penerima tertinggi iaitu seramai 6,587 penerima diikuti PDT Seberang Perai Tengah (5,325), PDT Seberang Perai Utara (5,031), PDT Seberang Perai Selatan (2,906) dan PDT Daerah Barat Daya (2,425).

Oleh : YUSNINA MOHAMAD YUSOF
Gambar : ALVIE CHENG