46 kontinjen sertai perarakan Maulidur Rasul

Admin
KONTINJEN Perbadanan Bekalan Air Negeri Pulau Pinang turut serta dalam perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1433H Peringkat Negeri di sini.
KONTINJEN Perbadanan Bekalan Air Negeri Pulau Pinang turut serta dalam perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1433H Peringkat Negeri di sini.

GEORGE TOWN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang (JBPPP) mendahului penerima Anugerah Khas Kontijen Perarakan Terbaik sempena Sambutan Maulidur Rasul 1433H/2012M Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi kategori agensi kerajaan, badan berkanun dan swasta.

Selain JBPPP, Jabatan Penjara Seberang Perai dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang turut dinobatkan sebagai Kontijen Perarakan Terbaik tahun ini.

Manakala bagi kategori pertubuhan bukan kerajaan dan institusi, Tenaga Nasional Berhad dan Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang telah terpilih untuk menerima Anugerah Khas tersebut. Setiap kontijen menerima wang tunai berjumlah RM1,000, sijil penghargaan dan hadiah iringan.

Perarakan yang diadakan sempena Maulidur Rasul itu turut mendapat penyertaan menggalakkan bukan sahaja
dari agensi kerajaan, badan berkanun negeri dan swasta, malah, turut mendapat sambutan daripada orang kenamaan, khairiah masjid dan institusi pengajian tinggi.

Dalam pada itu, pelepasan kontijen perarakan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman yang turut serta berarak sejauh 2.4 kilometer, bermula dari Padang Kota Lama melalui Lebuh Farquhar dan berakhir di Dewan Sri Pinang.

Selain Mansor, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim dan beberapa delegasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut serta dalam perarakan yang disertai oleh 46 kontijen dan 2,000 peserta.