46 koperasi dapat manfaat RM450,000 peruntukan Kerajaan Negeri – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Sebanyak 46 koperasi telahpun menerima manfaat daripada RM450,000 peruntukan Kerajaan Negeri bagi tahun 2023 untuk pelaksanaan Program Bantuan Pembangunan Bagi Pemerkasaan Gerakan Koperasi Negeri Pulau Pinang.

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol menjelaskan perkara itu dalam Sesi Penggulungan Bagi Ucapan Perasmian TYT Sempena Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 22 November 2023.

“Usaha berkenaan menunjukkan Kerajaan Negeri sentiasa giat dalam merancang dan melaksanakan program berimpak tinggi bagi menggalakkan budaya keusahawanan untuk keterjaminan perniagaan koperasi yang mampan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri berhasrat meneruskan pelaksanaan geran bantuan pada tahun hadapan dengan memperluas skop skop penerima koperasi kepada golongan belia serta mereka yang menjalankan perniagaan koperasi meliputi bidang pertanian, perikanan dan penternakan.

“Saya yakin dengan gabungan kesemua bidang-bidang yang disebut, ia mampu menghasilkan sinergi yang lebih baik dalam memacu pertumbuhan ekonomi pertanian negeri,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi turut menyatakan pelaksanaan Zon Industri Akuakultur (ZIA) di lima kawasan sekitar negeri ini bakal memberi peluang pekerjaan serta peluang perniagaan kepada pengusaha perikanan, pelabur serta pengerak koperasi berkaitan.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN