Pendedahan STEM kepada kanak-kanak istimewa

GEORGE TOWN – Seramai 46 kanak-kanak dari Wisma Yatim Islam Lelaki dan Perempuan Air Itam dibawa khas ke pusat sains, Tech Dome Penang (TDP) sebagai pendedahan lanjut dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Ong Khan Lee berkata, lawatan tersebut mampu mengisi masa cuti sekolah yang terluang dengan aktiviti bermanfaat serta memperkayakan pengetahuan mereka dengan kemahiran STEM.

“Saya percaya pengalaman di Tech Dome hari ini mampu dibawa balik sebagai satu pembelajaran yang baik untuk membina negara di masa hadapan,” ujar beliau yang mengambil inisiatif khas berhubung penganjuran berkaitan di sini hari ini.

Bersempena lawatan tersebut, selain bermain dengan alatan STEM yang disediakan, para pelajar turut berpeluang melihat dengan lebih dekat proses penghasilan sabun dijalankan.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Khidmat Kemasyarakatan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rashidah Jalaludin; Ketua Pegawai Eksekutif TDC, Dr. Khong Yoon Loong; Naib Yang diPertua Wisma Yatim Islam Pulau Pinang, Datuk Rashid Ismail.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI