Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Perlindungan (Protection), Pendakwaan (Prosecution), Pencegahan (Prevention) dan Perkongsian (Partnership) atau ringkasnya 4P menjadi ‘senjata’ penting dalam memerangi jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran di negara ini.
Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, berkata demikian pada Seminar ‘Pemerdagangan Seks di Pulau Pinang: Apa Yang Boleh Kita Lakukan’ yang diadakan di sini baru-baru ini.
Seminar anjuran Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) itu, menekankan pelbagai dimensi harus digunakan dalam usaha menangani pemerdagangan seks yang turut melibatkan jenayah pemerdagangan manusia serta penyeludupan migran di Pulau Pinang.
“Seminar ini adalah sebahagian inisiatif Kempen Banteras Pemerdagangan Manusia di Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri sendiri kini
sedang memperkemas serta memperincikan tindakan dalam membendung aktiviti ini.
“Jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran dianggap jenayah baru di Malaysia berbanding negara lain yang sudah berakar umbi sehingga mampu mengancam keselamatan dan keamanan negara,” katanya.
Jelas Chong Eng, perangkaan memperlihatkan kira-kira 2.7 juta manusia diseludup di seluruh dunia setiap tahun dengan 80 peratus daripadanya melibatkan wanita dan kanak-kanak.
Selain itu, lebih 29,000 wanita dan kanak-kanak turut ditahan bersabitkan pelacuran antara tahun 2008 dan 2010, di mana 189 daripadanya adalah mangsa pemerdagangan manusia.
Menurut beliau, jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran merupakan suatu jenayah kompleks kerana melibatkan sindiket yang beroperasi secara teratur dan terancang.
“Ia melibatkan pengangkutan, pemindahan, penyediaan dan bermacam bentuk eksploitasi terancang sama ada dalam bentuk seksual, kerjaya atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau apa-apa aktiviti menyalahi undang-undang,” tambahnya.
Sehubungan itu, Chong Eng mengharapkan sokongan rakyat untuk membantu membanteras jenayah tersebut dengan melaporkannya kepada pihak berkuasa dan mengheret pelaku jenayah ini ke muka penadilan.