50 Manifesto Perpaduan demi percambahan sosioekonomi Pulau Pinang

Admin

BAGAN JERMAL – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bertekad memperjuangkan 16 tunjang utama yang terkandung dalam Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

 

 

Ketua Menteri “Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Manifesto Perpaduan bertemakan ‘Kita Penang Kita Boleh’ itu turut mengandungi 50 manifesto yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

 

“Kita akan memperjuangkan tunjang-tunjang ini demi rakyat Pulau Pinang yang kita kasihi.

 

 

“Kita senantiasa memikul amanah yang diberikan untuk memastikan bahawa tiada pihak yang terpinggir atau dipinggirkan, prinsip negeri berkebajikan sentiasa menjadi pegangan dan pastinya kita membangun bersama-sama dalam percambahan sosioekonomi negeri Pulau Pinang secara keseluruhan,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Manifesto dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan Negeri Pulau Pinang dekat Butterworth Arena di sini sebentar tadi.

 

 

16 tunjang Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 adalah merangkumi Cakna Kebajikan Rakyat; Sosioekonomi Rakyat Diperjuangkan; Suntikan Pekerjaan Berkemahiran Tinggi; Syiar Islam Terus Dipertahankan; Kelengkapan Infrastruktur Utama; Penyeimbangan Pembangunan Kawasan Luar Bandar; Percambahan Modal Insan dan Perumahan Untuk Semua.

 

 

Selain itu, turut terkandung adalah Memperkasakan Golongan Wanita dan Belia; Keterjaminan Rantaian Makanan; Pemantapan Sektor Pelancongan dan Perkhidmatan; Inisiatif Penyuraian Trafik; Keharmonian Masyarakat Majmuk; Demokrasi Dipertahankan; Hak Pulau Pinang dan Persekitaran Berdaya Tahan Terhadap Perubahan Iklim turut diberikan penekanan oleh gabungan parti tersebut.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang mahukan  generasi muda kekal berada Pulau Pinang dan memastikan pembangunan sosioekonomi negeri terus cemerlang serta unggul.

 

 

“Kita juga berhasrat untuk menjana  ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan elektrikal dan elektronik (E&E), Integrated Circuit (IC) Design, teknologi perubatan, Digital District dan ekonomi baru.

 

 

“Pelaksanaan Penang Strategy for Economic Ecosystem Development atau ‘Penang SEED’ bakal menjadi garis panduan dalam perancangan pembangunan ekonomi dalam tempoh lima tahun yang menyasarkan pencapaian dinamik, kesaksamaan, prospek kerjaya berkualiti dan pengekalan kesejahteraan selaras dengan gagasan Visi Penang2030.

 

 

“Menerusi ‘Penang SEED’ juga, jangkaan trajektori pertumbuhan semasa sebanyak 3.5 peratus bakal dikekalkan pada setiap tahun dari tempoh 2023 hingga 2028.

 

 

“Malah, garis panduan berkaitan turut menjangkakan pencapaian pertumbuhan tahunan sehinga 5.8 peratus dengan menarik lebih RM10 bilion pelaburan pembuatan diluluskan dan pasaran pekerjaan dianggarkan berkembang sebanyak 1.4 peratus pada tempoh sama'” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

 

Kon Yeow memberitahu, pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) akan memberikan tumpuan kepada projek keutamaan termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas serta merealisasikan projek ‘Silicon Island’ di Penang South Island (PSI).

 

 

Seterusnya, beliau berkata bahawa Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang berhasrat untuk menambah baik aliran trafik serta penyelesaian mobiliti  pengangkutan awam dan menuntut peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan lebuh raya bertingkat atau Juru – Sungai Dua Expressway.

 

 

“Kita juga bertekad untuk mengatasi isu perubahan iklim melalui projek-projek tebatan banjir, bandar rendah karbon dan kemudahan kenderaan elektrik (EV), melaksanakan Pelan Kontigensi Air 2030 bagi memastikan krisis air tidak berulang di Pulau Pinang dan memperkasakan rakyat dengan memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti, belia, wanita dan warga emas,” ujarnya lanjut.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa melalui kepercayaan serta mandat yang diberikan oleh rakyat Pulau Pinang sejak 15 tahun lalu, ia telah membuktikan kejayaan menarik lebih daripada RM200 bilion pelaburan pembuatan diluluskan.

 

 

“Dalam pada itu, bagi terus memperkasakan pembangunan modal insan, sekolah-sekolah di negeri ini akan terus memperoleh suntikan peruntukan tahunan melebihi RM146 juta.

 

 

“Berpegang kepada prinsip sebagai sebuah negeri cakna kebajikan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited memperuntukkan lebih daripada RM417 juta sumbangan bantuan kepada golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang, kaum dan juga agama,” katanya.

 

 

Pada akhir majlis, Kon Yeow turut memperkenal 40 calon Perpaduan yang akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kelak.