Oleh: MARK JAMES
GEORGE TOWN – Hampir 50 anak muda dalam hujan yang renyai tetap meraikan Pesta Demokrasi Tempatan 2013 anjuran Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Pulau Pinang di perkarangan Dataran Pidato, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.
Keraian dimulakan dengan deklamasi sajak daripada Ksatriya, diikuti, persembahan hip-hop oleh MõBeat yang diteraju oleh pasangan pengacara, Sugeindhiran dan Teh Yeu Shu.
Dua aktivis demokrasi asing, Shannon Frances dan Mark Walker antara yang hadir pada majlis interaktif tersebut.
“Walaupun negara asal saya, Amerika Syarikat, juga mempunyai masalah dari segi politik, ia adalah berbeza kerana kita dapat menyelesaikan secara terbuka tanpa khuatir kerana kami mempunyai kebebasan bersuara untuk berdialog perbezaan pendapat,” ujar Shannon di sini.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada penganjur kerana meraikan komuniti minoriti dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) serta peserta lain dalam keadaan hujan yang renyai.
Acara kemuncak adalah gimik membuang kertas undi ke dalam kotak mengundi sebagai simbolik menyokong semua usaha menyuburkan demokrasitempatan.
Pesta yang berlangsung sehingga 15 Disember depan antara lain turut menganjurkan program Lawatan Demokrasi Tempatan pada 12 Oktober,
Latihan Pemandu Pelancong pada 19 Okt, Bengkel Video (26 dan 27 Oktober), Bengkel Komuniti (9 dan 23 November), Forum Pemilihan JKKK (16 November), Kem Aktivisme Kreatif 29 November hingga 1 Disember) dan Parlimen Muda (13 hingga 15 Disember)serta Pusaka Demokrasi Rakyat yang berterusan menerusi laman sosial Facebook.