PINANG TUNGGAL – Kerajaan Negeri hari ini mengagihkan sejumlah 500 bungkusan daging mentah kepada kelompok terpilih dalam kalangan umat Islam sekitar kawasan Parlimen Tasek Gelugor dan Kepala Batas sempena menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha yang kian kunjung tiba.
Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pasukan Lay Hock Peng (Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng) kerana selama tempoh lima tahun ini telah memainkan peranan penting dalam menganjurkan program-program kebajikan serta sosioekonomi rakyat kepada penduduk lokal di sini.
“Tahniah kepada pasukan Lay Hock Peng yang tidak pernah lupa untuk menganjur sambutan perayaan rakyat Malaysia ini saban tahun baik Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Deepavali, Tahun Baru Cina atau lain-lain perayaan utama negara.
“Pada malam ini, kita (Kerajaan Negeri) bersyukur kerana dapat menganjurkan sedikit program bantuan kepada 500 keluarga terpilih dengan kos RM20,000.
“Semoga dengan sumbangan ini dapat memberi sedikit keceriaan kepada mereka dalam menyambut Aidiladha,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis berkaitan di Pusat Ekopelancongan Seberang Perai Utara (SPU) di sini pada 20 Jun 2023.
Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata pentadbirannya akan memastikan aktiviti pelaburan dan perindustrian berkualiti terus rancak di Pulau Pinang serta membawa limpahan kemakmuran ekonomi rakyat termasuk kepada masyarakat luar bandar di sekitar Tasek Gelugor dan Kepala Batas.
Selain Hock Peng, turut berucap ialah Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga ADUN Pinang Tunggal.
Selain acara penyampaian pek daging segar kepada para penerima terpilih, para hadirin turut diraikan dalam majlis jamuan makan rakyat di sini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SIEW CHIA EN