500 murid daerah SPT terima manfaat bantuan cermin mata

Admin
whatsapp image 2025 04 18 at 12.25.11 pm

PERAI – Seramai 500 murid dari daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menerima manfaat daripada Program Bantuan Cermin Mata Murid Sekolah.

 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid memberitahu bahawa inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama strategik antara Yayasan Sahabat Negara dan Etiqa General Takaful membabitkan dana keseluruhan berjumlah RM500,000.

 

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM475,000 adalah disumbangkan melalui wakalah zakat Etiqa General Takaful manakala RM25,000 lagi daripada sumbangan daripada Yayasan Sahabat Bina Negara.

 

“Secara keseluruhan, seramai 2,500 orang murid di seluruh Pulau Pinang menerima manfaat dengan agihan RM100,000 bagi setiap daerah untuk membantu 500 murid yang memerlukan,” katanya pada majlis penyampaian bantuan cermin mata dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Baharu, di sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Fadzil Sadikin; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) SPT, Suhaizi Semail; Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa General Takaful, Shahrul Azuan Mohamed; Pengarah Eksekutif Yayasan Sahabat Bina Negara, Azman Mat Isa serta Guru Besar SK Jalan Baharu, Suhardi Abdul Talib bersama barisan pentadbir sekolah.

 

Pada majlis itu juga, Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menyerahkan replika cek bernilai RM100,000 kepada PPD SPT untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan pendidikan pelajar sentiasa terjaga.

 

whatsapp image 2025 04 18 at 12.25.08 pm
SERAHAN replika cek kepada Suhaizi Semail (dua dari kanan).

 

Menurut Mohamad, dana tersebut disalurkan bagi membantu murid yang mengalami masalah rabun, khususnya dari kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.

 

“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap isu rabun dalam kalangan pelajar sekolah kerana menurut Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2016, seramai 10 peratus kanak-kanak mengalami rabun jauh tanpa disedari.

 

“Keadaan ini secara langsung telah menjejaskan tumpuan dan pencapaian akademik mereka,” ujarnya.

 

Pada masa sama, Mohamad berkata bahawa Kerajaan Negeri turut melaksanakan inisiatif pemberian 8,740 unit tablet kepada murid sekolah rendah dari 263 buah sekolah di seluruh negeri Pulau Pinang.

 

“Inisiatif ini adalah khusus untuk anak-anak daripada keluarga B40 yang tergolong dalam kategori asnaf fakir, miskin dan fisabilillah yang dilaksanakan menerusi Divisyen Projek Khas MAINPP dengan kos keseluruhan berjumlah RM6.51 juta.

 

“Inisiatif ini telah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bagi penggunaan wang zakat daripada Kumpulan Wang Tawaquf untuk tujuan pendidikan,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.

 

Sementara itu, wakil pihak SK Jalan Baharu, Rafiza Abdul Razak, 43, memaklumkan bahawa pemilihan penerima bantuan dilakukan berdasarkan data lengkap murid.

 

“Keutamaan diberikan kepada murid daripada keluarga berpendapatan rendah serta yang telah disahkan mempunyai masalah rabun.

 

“Selain itu, murid yang telah menggunakan cermin mata lama tetapi tidak lagi sesuai turut dipertimbangkan bagi melengkapkan kuota penerima,” ujarnya ketika ditemui Buletin Mutiara.

 

Beliau turut menyifatkan program tersebut sebagai inisiatif murni yang bukan sahaja dapat meringankan beban ibu bapa, malah memberi impak besar terhadap prestasi pembelajaran murid.

 

“Sebagai seorang guru, saya melihat sendiri kesan masalah rabun terhadap prestasi pelajar di dalam kelas.

 

“Sebelum ini, ada ibu bapa yang memohon agar anak mereka ditempatkan di bahagian hadapan kerana sukar melihat papan putih,” tambahnya.

 

Seorang penerima bantuan, Muhammad Zakwan Wafiy Abdul Razak, 12, meluahkan rasa syukur dan gembira kerana terpilih sebagai salah seorang penerima cermin mata buat kali pertama.

 

“Saya mengalami rabun jauh dan nama saya dihantar oleh cikgu untuk dimasukkan dalam senarai penerima.

 

“Saya sangat gembira kerana selepas menerima cermin mata ini, saya boleh melihat dengan lebih jelas,” ujarnya.

 

whatsapp image 2025 04 18 at 12.25.11 pm (1)
MOHAMAD Abdul Hamid (dua dari kiri) menyarungkan cermin mata kepada salah seorang penerima pada majlis berkaitan di sini.

 

 

Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD