500 pelajar KADUN Seberang Jaya terima bantuan awal persekolahan

Admin

SEBERANG JAYA – Seramai 500 pelajar terpilih dari kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya menerima bantuan awal persekolahan bagi tahun 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata, bantuan yang disumbangkan oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) itu diharap dapat membantu meringankan beban ibu bapa pelajar dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

“Saya difahamkan setiap baucar adalah bernilai RM150 bagi setiap pelajar yang boleh ditukarkan dengan dengan peralatan sekolah di kedai-kedai terpilih dan sah sehingga akhir cuti persekolahan.

Antara ibu bapa pelajar yang layak menerima bantuan awal persekolahan.

“Diharapkan dengan adanya bantuan ini dapatlah meringankan sedikit beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan untuk anak-anak yang bakal memulakan persekolahan pada tahun depan,” katanya semasa menyampaikan bantuan berkenaan dekat Pavilion Pertanian Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini pada 13 Disember lalu.

Hadir sama, pengerusi-pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) KADUN Seberang Jaya serta ibu bapa pelajar.

Dalam perkembangan berkaitan, Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan memaklumkan bahawa selain bantuan-bantuan sedia ada, Kerajaan Negeri juga memberi fokus terhadap program Peduli Kesihatan (Peka) B40 yang dilancarlan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bermula 1 Januari tahun depan (2020), mereka yang berumur 40 tahun ke atas dan merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) layak mendaftakan diri di bawah program ini.

“Program ini sangat baik kerana dapat meringankan beban tanggungan rakyat terutamanya dalam kos perubatan termasuk di negeri Pulau Pinang,” ujarnya lagi.

 

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF