52 terima surat lulus lanjut tempoh pajakan tanah

Admin
4938ad65 7388 4e88 a7a0 659f2d4e7a7d KETUA Menteri (kanan sekali) menjelaskan kepada para pemegang taruh berkenaan mengenai dasar penambahbaikan diskaun dan premis tanah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri hari ini, di Komtar pada 4 Julai 2024.

GEORGE TOWN – Seramai 52 pihak menerima surat kelulusan permohonan pelanjutan tempoh pajakan tanah dan pemberimilikan atas pegangan masing-masing daripada Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang hari ini.

Mereka menerima surat kelulusan dengan kadar diskaun dan premium tertentu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penambahbaikan kadar-kadar diskaun tersebut diharap dapat membantu rakyat Pulau Pinang menguruskan proses perlanjutan tempoh pajakan tanah mereka yang berkenaan.

“Bagi kes-kes kediaman, kita (Kerajaan Negeri) memberi diskaun 90 peratus, nampaknya semua penerima puas hati dengan diskaun yang diberikan.

“(Penambahbaikan kadar-kadar diskaun) ini pun demi menggalakkan lebih ramai pemegang pajakan yang mungkin belum tamat, boleh buat permohonan (pelanjutan tempoh pajakan),” jelasnya sebelum menyampaikan surat kelulusan kepada 21 pihak terpilih dalam majlis berkaitan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dekat sini pada 4 Julai 2024.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, bagi tanah-tanah industri, tempoh lanjutan pajakan yang dimohon kekal dalam tempoh asal iaitu 60 tahun.

“Kita lanjut tempoh pajakan ikut tempoh pajakan yang asal…sebab (tempoh pajakan) tanah industri semua 60 tahun.

“Tetapi, kalau tanah kediaman ada yang tempoh pajakan 60 tahun, akan dilanjutkan 99 tahun,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Dr. Faizal Kamarudin turut sertai majlis penyampaian surat kelulusan permohonan perlanjutan tempoh pajakan tanah tersebut.

img 0432Terdahulu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada 19 Jun lepas antara lain meluluskan cadangan penambahbaikkan dasar pengenaan bayaran premium bagi permohonan pelanjutan tempohpajakan dan permohonan pemberimilikan yang disebabkan tempoh pajakan telah tamat.

Pembaharuan dasar itu disahkan dalam Mesyuarat Exco pada 26 Jun 2024.

Di bawah dasar baharu itu, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH) akan menentukan premium berpandukan nilai pasaran dengan mengambil kira tujuan kegunaan tanah seperti pertanian, kediaman dan komersial.

Dasar baharu itu turut membezakan pemohon kategori individu dan bukan individu.

Sementara, kadar premium dan diskaun juga adalah berbeza mengikut baki tempoh pajakan iaitu tempoh pajakan yang mempunyai baki melebihi dua tahun, dalam tempoh dua tahun, dan juga yang telah tamat tempoh pajakan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ALISSALA THIAN