5,262 pesawah Pulau Pinang terima bantuan ‘one-off’ RM2.6 juta

Admin
KETUA Menteri

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan pemberian RM2,631,000 peruntukan atau RM500 bantuan bayaran sara hidup masing-masing kepada 5,262 pesawah di negeri Pulau Pinang.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa bantuan ‘one-off’ itu mengambil kira pelbagai halangan serta cabaran yang terpaksa dihadapi para pesawah negeri termasuk ketidaktentuan cuaca, peningkatan kos bahan input baja kimia dan agrokimia, kesan berantai pandemik COVID-19 serta terbaru peperangan antara Russia dan Ukraine kini.

“Kerajaan Negeri berharap agar pemberian bantuan ini dapat meringankan beban dihadapi para pesawah padi, seterusnya memberi rangsangan (kepada pesawah) untuk terus mengekalkan Pulau Pinang dalam senarai teratas pengeluar padi di Malaysia,” jelasnya dalam sidang media di Komtar pada 6 Oktober 2022.

Difahamkan, keluasan tanaman padi di negeri Pulau Pinang adalah seluas 12,105.59 hektar dengan hasil purata pengeluaran padi negeri pada tahun 2020 adalah sebanyak 4.831 matriks tan sehektar.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa hasil purata pengeluaran padi negeri Pulau Pinang itu adalah melepasi purata kebangsaan sebanyak 4.039 matriks tan sehektar.

Bagi purata luar musim 2021 pula, beliau menyatakan bahawa Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 5.595 matriks tan sehektar yang mana angka itu menunjukkan peningkatan hasil padi negeri adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri.

“Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang tidak asing lagi dalam menyumbang pada pengeluaran makanan asasi iaitu beras untuk negara kita.

“Pulau Pinang telah menunjukkan pencapaian ketiga tertinggi untuk tahun 2020 dan menyumbang kepada 61.44 peratus keperluan sara diri (SSL) di negeri Pulau Pinang,” ujarnya lan;jut.

NORLELA Ariffin

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata bahawa proses transaksi bantuan kewangan ‘one-off’ kepada para pesawah yang berdaftar di bawah Jabatan Pertanian Negeri akan dibuat secara dalam talian (online banking), secepat mungkin dalam bulan Oktober ini juga.

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Zabidah Safar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Mohd. Muhaimin Ibrahim; Setiausaha bagi Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Zuhair Jamaludin dan Timbalan Setiausaha Bahagian (Makro Pembangunan) BPEN, Muhamad Husni Mahmud turut sertai siang media tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : LAW SUUN TING