536 nelayan terima bantuan pukat

Admin

PENAGA – Seramai 536 nelayan dari Seberang Perai Utara (386 orang) dan Seberang Perai Tengah (150 orang) hari ini menerima sumbangan pukat daripada Kerajaan Negeri.

Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga, Md. Khalil Salleh berkata, inisiatif bernilai RM400 yang diberikan sejak 2017 tersebut membolehkan para nelayan pesisir pantai mendapatkan pukat-pukat baru.

“Sasaran utama bantuan ini adalah khusus untuk nelayan yang bekerja sepenuh masa dalam aktiviti-aktiviti nelayan di pesisir pantai serta mempunyai lesen yang sah,” katanya semasa merasmikan program berkenaan dekat Dewan Mukim Titi, di sini sebentar tadi.

Md. Jusoh Ismail.

Dalam pada itu, nelayan kawasan Sungai Ajidin, MD. JUSOH ISMAIL, 58, berkata bahawa beliau berasa bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri.

“Alhamdulillah. RM400 ini dapat menampung pendapatan saya untuk membaiki serta membeli barang bagi membuat pukat baru,” ujarnya lagi.

Ali Hashim.

Seorang lagi penerima, ALI HASHIM, 47, menyifatkan bantuan tersebut adalah amat diperlukan.

“Bagi saya RM400 ini sememangnya banyak dan mudah bagi saya untuk membeli pukat serta menjimatkan duit poket saya.

“Peruntukan ini hanya dibenarkan untuk membeli pukat sahaja dan bahan-bahan bagi membuat pukat.

“Selain itu, masalah kami (nelayan) di kawasan ini adalah terdapat pihak yang menggunakan bubu naga untuk menangkap ikan dan menyekat rezeki nelayan di sini.

“Walaupun pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menjalankan operasi dan menangkap pihak yang menjalankan penangkapan secara haram itu, namun aktiviti haram itu masih ada sehingga hari ini,” responsnya yang merupakan seorang nelayan dari Tok Keramat.

Menurut JAMIL SHAFIE, 53, nelayan dari Penaga berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin terhadap nasib nelayan di negeri ini.

“Terima kasih diucapkan atas keprihatinan serta sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada para nelayan pesisiran pantai di Kuala Muda, Telok Air Tawar dan Penaga,” jelasnya.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD