5,485 kekosongan pekerjaan di Pulau Pinang masih belum diisi

Admin

GEORGE TOWN – Sehingga 30 Jun 2020, sejumlah 5,485 kekosongan pekerjaan sedia ada dalam pelbagai bidang yang didaftarkan di Pulau Pinang masih belum diisi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa jumlah tersebut diperoleh berdasarkan laporan daripada Pusat Jobs Malaysia (JMC) Pulau Pinang, Butterworth serta George Town.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 550 kekosongan jawatan direkodkan oleh JMC Pulau Pinang, JMC Butterworth (2,075) manakala JMC George Town pula 2,860,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan Exco Kerajaan Negeri; Pengarah investPenang (iP) merangkap Penasihat Pelaburan kepada Ketua Menteri, Dato’ Seri Lee Kah Choon serta Ketua Pegawai Eksekutif investPenang, Dato’ Loo Lee Lian.

Kon Yeow menambah, seramai 5,023 pekerja di negeri ini telah diberhentikan kerja dalam tempoh masa sama sebagaimana Laporan Pemberhentian Pekerja Majikan kepada Jabatan Tenaga Kerja Pulau Pinang.

“Melihat kepada angka-angka ini, kita boleh katakan bahawa peluang pekerjaan masih lagi melebihi jumlah tenaga kerja yang hilang pekerjaan di negeri ini.

“Justeru, kita akan melihat bagaimana untuk memadankan jawatan bagi dua kumpulan ini bagi memastikan mereka yang hilang kerja dapat mencari pekerjaan gantian secepat mungkin.

“Saya percaya majikan juga mahu kekosongan jawatan yang ada diisi oleh sumber manusia yang mahir dalam bidang-bidang berkaitan,” ujarnya.

Difahamkan, daripada jumlah itu, sebanyak 4,836 tenaga kerja yang hilang pekerjaan adalah melibatkan pekerja tempatan manakala selebihnya adalah warga asing.

Mengulas lanjut, Ramasamy memberitahu bahawa Penang Career Assistance and Talent Centre, atau CAT Center di bawah investPenang memainkan peranan penting dalam proses pemadanan jawatan memandangkan agensi Kerajaan Negeri itu mempunyai jaringan perhubungan yang lebih luas.

“Minggu lalu, Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan bersama-sama 27 organisasi untuk membincangkan mengenai pekerjaan di negeri ini.

“Mereka berpendapat bahawa Kerajaan Negeri perlu menyediakan rancangan khusus bagi mengatasi masalah pekerjaan ini,” jelasnya yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUN TING
Video : ALVIE CHENG