Sumbangan rambut palsu mampu kembalikan keyakinan pesakit kanser, kata Ahli Parlimen

Admin

BUKIT MERTAJAM – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada pertubuhan Junior Chamber International (JCI) Perai perai untuk membantu meringankan beban pesakit kanser tahap akhir.

Chee Keong berkata, sumbangan tersebut adalah sebagai kos untuk menghasilkan 10 unit rambut palsu yang diusahakan oleh JCI Perai sejak beberapa tahun lalu.

“Tahniah diucapkan kepada JCI Perai kerana berjaya menunaikan janji untuk menyiapkan rambut palsu kepada 10 pesakit kanser.

Steven Sim Chee Keong menyantuni salah seorang pesakit yang menerima sumbangan rambut palsu.

“Justeru, saya bersetuju menghulurkan sumbangan ini kerana difahamkan setiap rambut palsu yang dihasilkan memerlukan kos RM800 hingga RM1,000 dan ini menjadi kos tambahan kepada pesakit selain kos perubatan.

“Sumbangan ini bukan hanya membantu meringankan beban pesakit tetapi juga mampu mengembalikan keyakinan pesakit yang mengalami keguguran rambut akibat penyakit kanser,” katanya pada majlis penyampaian cek sumbangan dekat Pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam pada 10 Mei lalu.

Hadir sama, Pengasas JCI Perai, Gery Chew dan Presiden JCI Perai, Cledment Loke.

Gary Chew dalam ucapannya sebelum itu memberitahu bahawa pihaknya mengusahakan projek rambut palsu tersebut di bawah program ‘Give Hair Give Hope’ yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu.

“Melalui projek ini, kami kumpul sumbangan dana daripada oranh awam dan menghasilkan rambut palsu untuk pesakit kanser tahap akhir.

“Oleh itu, saya menyeru kepada orang ramai untuk sama-sama mempromosikan projek yang sangat bermakna ini,” katanya lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF