60 peratus tidak jelas tunggakan sewa pasar awam

Oleh : ZULIANA AZIZ

SEBERANG PERAI – Hampir semua pasar-pasar awam dan Kompleks Makanan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kecuali Pasar Awam Sri Uda mempunyai tunggakan sewaan sekaligus mengugat reputasi kewangan bagi pelaksanaan skop-skop kerja lain pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan setiap tahun.

Menurut Ahli Majlis MPSP, Soon Lip Chee, walaupun kerja-kerja penguatkuasaan dijalankan, namun, ramai peniaga yang masih berdegil dan tidak mengendahkan arahan daripada MPSP supaya menjelaskan tunggakan sewaan masing-masing.

Katanya, hasil siasatan mendapati, pada tahun 2009, kira-kira 60 peratus peniaga tidak menjelaskan sewaan di kebanyakan gerai-gerai pasar awam dan kompleks makanan sekitar Seberang Perai.

SALAH sebuah pasar awam yang terdapat di Butterworth, Seberang Perai di sini.
SALAH sebuah pasar awam yang terdapat di Butterworth, Seberang Perai di sini.

“Jumlah tersebut sangat tinggi dan kita sukar untuk mengawal setiap peniaga ekoran jumlah mereka yang ramai. Hal ini menjadi masalah yang besar kepada MPSP kerana walaupun arahan dan notis telah dikeluarkan, mereka (peniaga) masih tidak menghiraukan serta memandang perkara ini,” jelas Lip Chee ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Tambah beliau, pada tahun 2010, satu mesyuarat telah diadakan bagi menyemak semula senarai peniaga yang tidak menjelaskan sewa bulanan. Justeru, tindakan lanjut telah diambil dengan mewujudkan perkhidmatan kaunter bergerak MPSP demi memudahkan peniaga dan orang ramai berurusan dengan pihak kami (MPSP) termasuk menjelaskan tunggakan, membayar cukai, membayar saman dan sebagainya.

“Pada tahun ini, kita telah buat perkhidmatan kaunter bergerak pada setiap bulan dan menyediakan pegawai khas bagi membantu mengutip kadar sewaan daripada setiap peniaga. Melalui perkhidmatan ini, kita telah dapat mengurangkan kadar tunggakan sebanyak 3.15 peratus bagi tahun lalu,” tambah Lip Chee lagi.

Oleh yang demikian, MPSP berharap agar setiap peniaga lebih bertanggungjawab dan prihatin bagi membantu menangani masalah yang dihadapi sekaligus menjelaskan sewaan setiap bulan untuk kemudahan semua pihak.