Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
PERMATANG BERANGAN – Seramai 600 masyarakat berbilang kaum membanjiri program tahunan, Pesta Perayaan Ponggal anjuran Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Permatang Berangan di sini baru-baru ini.
Apa yang menarik, pada tahun ini, menurut PPK Permatang Berangan, Arshad Md. Salleh, penganjuran kali ini diadakan secara terbuka agar semua lapisan masyarakat, tidak kira latar belakang agama untuk turut serta meraikannya dalam suasana muhibah.
Turut diadakan adalah upacara tradisi perayaan Ponggal dan acara cabutan bertuah. Sebanyak 65 cabutan telah diadakan dan hadiah cabutan tersebut disampaikan sendiri oleh Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Arshad dan Yang di-Pertua PAS Tasek Gelugor, Khalid Man.
Dalam pada itu, Ramasamy berkata, Ponggal merupakan sebahagian perayaan tradisional kaum India yang disambut meriah selepas perayaan Deepavali dan Thaipusam.
“Kalau di India, perayaan ini disambut dengan meriahnya selama satu minggu. Di Malaysia pun tidak kurang hebatnya,” ujarnya di dalam penganjuran program yang diadakan di Dewan HYO, Pokok Machang di sini.