626 pek bekalan keperluan asas diagih kepada penerima KADUN Pinang Tunggal

PINANG TUNGGAL – Sebanyak 626 pek bekalan keperluan asas mula diagihkan kepada penerima bantuan Agenda Ekonomi Saksama (AES) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa pek bekalan keperluan asas tersebut akan dihantar terus ke rumah para penerima demi memastikan usaha memutuskan rantaian perebakan wabak COVID-19 berjaya.

“Barang-barang keperluan asas ini akan dihantar ke rumah para penerima kerana kita mahu semua pihak terus kekal duduk di rumah, demi menjayakan kempen ‘Penang Lawan Covid-19’.

“(Barang-barang keperluan asas) ini adalah sumbangan tambahan Kerajaan Negeri daripada sumber dana kecemasan berjumlah RM30,000 yang diperuntukkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang.

“Sehingga fasa tiga PKP (PKP 3) ini, didapati golongan yang paling terjejas secara langsung adalah mereka yang berniaga sendiri atau (diberi) pendapatan harian, jadi, Kerajaan Negeri akan memastikan semua pihak yang terjejas dibela,” jelasnya yang juga ADUN Penang Tunggal merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat di Dewan Serbaguna Bertam Putra di sini, pagi tadi.

Turut sertai, Ustaz Muhasdey Muhammad iaitu Pegawai Khas kepada Tmbalan Ketua Menteri I serta beberapa anggota sukarelawan ‘Penang Lawan Covid-19’ peringkat KADUN Pinang Tunggal.

Ahmad Zakiyuddin juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memberitahu bahawa rata-rata golongan yang terjejas dek PKP turut menerima pelbagai bentuk bantuan daripada JKM dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) sebelum ini.

GAMBAR Ustaz Muhasdey Muhamad (dua dari kanan) bersama-sama beberapa anggota MPKK setempat turut meninjau serta menyampaikan bantuan bencana keadaan sebuah keluarga yang terjejas dek banjir kilat di Kampung Permatang Tinggi B di sini, pada malam kelmarin.

Dalam perkembangan berasingan, Muhasdey memberitahu mengenai perkembangan semasa banjir kilat di Kampung Permatang Tinggi B, pada malam tadi.

“Banjir kilat terjadi apabila hujan lebat turun tanpa henti selama dua jam, pada jam 9.30 malam baru hujan berhenti.

USTAZ Muhasdey Muhamad.

“Apabila air surut, kita (Pusat Khidmat Rakyat ADUN Pinang Tunggal) terus menyalurkan bantuan keperluan makanan asas secara serta-merta kepada keluarga-keluarga tersebut, pada malam tadi juga,” jelasnya.

Beliau memberitahu Pusat Khidmat Rakyat ADUN Pinang Tunggal bersama-sama Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Zainuddin Mohamed turut meninjau keadaan sistem perparitan sedia ada yang dianggap tidak mampu lagi menampung kapasiti air, apabila hujan lebat turun dalam tempoh yang lama.

“Kita mendapati banjir kilat yang berlaku mungkin disebabkan sistem perparitan sedia ada tersumbat, tidak diselenggara dengan baik.

“Sistem perparitan ‘lama’ ini perlu dinaiktaraf kerana tidak mampu lagi menampung kapasiti air ketika guna lebat,” jelasnya lagi.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB