Hari Warisan MBSP ruang generasi muda hayati sejarah warisan Seberang Perai

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) buat julung kalinya menganjurkan program Hari Warisan bersempena penaiktarafan Seberang Perai sebagai bandar raya berkuatkuasa 16 September lalu.

Setiausaha Bandarayanya, Ir. Rosnani Mahmod berharap agar penganjuran program berkenaan dapat dimanfaatkan oleh orang ramai khususnya generasi muda untuk mempelajari serta menghayati sejarah dan warisan di Seberang Perai.

Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP turut hadir memeriahkan acara.

 

 

 

 

“Sebagai langkah ke hadapan, MBSP akan membuat ‘Baseline Study’ bagi mendapatkan data-data seniman dalam pelbagai bidang seni yang ada di Seberang Perai.

“Hal ini kerana pemuliharaan warisan sama ada berbentuk artifak, binaan, nama tempat dan cerita lisan sangat perlu bagi mengelakkan kepupusan lantaran pembangunan yang pesat di Seberang Perai.

SK Minden Height dinobatkan sebagai juara Pertandingan Tarian Tradisional.

“Selain itu, pemuliharaan panaroma alam, habitat flora dan fauna, pengekalan kampung tradisional Melayu, kepentingan sejarah, tapak warisan serta monumen juga harus menjadi agenda untuk warisan generasi akan datang,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Sempena Hari Warisan dekat Menara Bandaraya MBSP, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Presiden Pertubuhan Sejarah dan Warisan Seberang Perai, Dahalan Fazil; wakil dari Pejabat Agama Seberang Perai Utara, Ustaz Yusof Desa serta ketua-ketua jabatan dan pegawai pegawai kanan MBSP.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian seperti sembang-sembang warisan yang menampilkan Dahalan dan Ustaz Yusof sebagai panel.

Turut mencuri tumpuan adalah Pertandingan Tarian Tradisional yang disertai oleh tujuh buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Pulau Pinang dengan mempersembahkan dua jenis tarian iaitu Tarian Zapin dan Tarian Etnik di negara ini.

Persembahan tarian tradisional oleh salah sebuah sekolah yang mengambil bahagian.

Pertandingan tersebut menyaksikan Sekolah Kebangsaan (SK) Minden Height dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 manakala tempat kedua milik Sekolah Mengah Sains Kepala Batas (RM2,000) dan tempat ketiga pula milik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemilang Butterworth (RM1,000).

Selain itu, MBSP juga mengadakan pameran berkenaan warisan dekat Lobi Menara Bandaraya serta tayangan dokumen berdurasi satu jam yang memaparkan sejarah kawasan dan bangunan-bangunan warisan dekat Seberang Perai.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD