GEORGE TOWN – Sebanyak 65.05 peratus daripada keseluruhan 3,500 responden dalam kalangan kelompok usia belia memberikan maklum balas kepada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) bahawa mereka menyokong pindaan enakmen bagi had umur calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun, lalu digazetkan dalam Perlembagaan Negeri pada September 2021.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa menyampaikan perasmian penutup pada Sidang Muda Sesi 2022 Penggal Pertama di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada 4 Jun. 2022.
Sehubungan itu, Kon Yeow memberitahu bahawa beliau percaya Sidang Muda mempunyai peranan tersendiri dalam membantu pentadbirannya ke arah memperkasakan rakyat terutama golongan belia di negeri ini.
“Ternyata bahawa golongan belia hari ini memerlukan peluang dan platform untuk membentuk jati diri menjadi pemimpin pada masa hadapan.
“Sama seperti Sidang Muda ini yang membuka lembaran baharu untuk golongan belia yang mengambil bahagian membahaskan usul-usul berkaitan terutamanya melibatkan pembangunan belia pada masa hadapan dalam pelbagai lapangan.
“Bayangkan sekiranya golongan belia ini tidak diberikan peluang dan ruang untuk memperjuangkan hak mereka, maka mungkin belia dan beliawanis yang ada kini terjerumus dengan politik jalanan yang boleh mengganggu-gugat pembangunan negeri,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong pada majlis berkaitan.
Di samping itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang dan Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah (ADUN Sungai Bakap merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri) kerana mengemudi perjalanan Sidang Muda Sesi 2022 Penggal Pertama sejak awal pagi tadi.
Sebelum itu, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata bahawa agenda pembangunan masa depan yang dipacu oleh Kerajaan Negeri hari ini sangat memerlukan penglibatan golongan belia.
Justeru, kata ADUN Bagan Jermal itu lagi, sekalian 35 anggota Sidang Muda Sesi 2022 Penggal Pertama akan terus memanfaatkan segala pengalaman berkaitan demi meningkatkan lagi penglibatan belia dalam agenda negeri dan negara.
“Pembangunan orang muda memang memerlukan penglibatan pemimpin-pemimpin belia dalam politik untuk kestabilan negara.
“Jadi, bagi saya, selepas habisnya Sidang Muda ini bukan bermakna semua anda harus bersara, (sebaliknya) mesti terus memberi pendapat berkaitan politik dan pembangunan dasar-dasar kerajaan (menerusi platform yang lain pula),” serunya.
Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling turut berucap pada majlis tersebut.
ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Si Zen; ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong dan ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim merupakan antara wakil rakyat yang hadir bagi menyaksikan Kon Yeow dan Choo Kiang menyampaikan sijil penghargaan kepada sekalian anggota Sidang Muda Sesi 2022 Penggal Pertama tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & video : ALISSALA THIAN