GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) yang amat prihatin dalam menganjurkan pelbagai program dan majlis bermanfaat untuk masyarakat Hindu di negeri ini.
Ini termasuk, menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pengiktirafan melalui Majlis Penghargaaan ‘Top Scorer SPM 2023’ kepada 67 penerima yang diharap akan menjadi pemangkin serta penyuntik semangat kepada para pelajar dalam memacu lebih banyak kecemerlangan dalam pendidikan.
“Melahirkan sebuah masyarakat yang berilmu merupakan salah satu elemen paling penting kepada Kerajaan Negeri dalam usaha mencapai Visi Penang 2030.
“Justeru, diharapkan pengiktirafan dan penghargaan yang diterima hari ini bukan sahaja berupaya menjadi pencetus semangat kepada para penerima hari ini, bahkan juga mengekalkan semangat untuk mereka menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya.
“(Dan) pihak Kerajaan Negeri juga akan terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan seimbang dan mampan yang melibatkan semua lapisan masyarakat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan pada majlis berkaitan di sini sebentar tadi.
Hadir sama, ADUN Air Putih merangkap mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying dan Ahli Parlimen Jelutong merangkap Pengerusi HEB Pulau Pinang, R.S.N Rayer.
Turut serta, ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng dan Senator merangkap Ahli Lembaga Pengarah HEB, Dr. R.A. Lingeshwaran.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyeru supaya semua penerima menceburkan diri melalui pelbagi sektor ekonomi yang tersedia di negeri ini.
“Sudah tentu pelajar lepasan SPM ini akan menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat institutusi pengajian tinggi (IPT) dan seterusnya.
“(Dan) sebagai negeri yang mempunyai banyak peluang pekerjaan khususnya dalam bidang industri, pelancongan dan perkhidmatan, maka kita berharap pelajar di negeri ini akan dapat kejayaan dan seterusnya pulang ke tanah air untuk berkhidmat dalam pelbagai sektor ekonomi yang tersedia,” ujarnya.
Difahamkan, Kementerian Kewangan turut menyumbangkan sebanyak RM25,000 kepada HEB sebagai menyokong inisiatif berterusan pihak berkaitan bagi memantapkan lagi pembangunan modal insan negeri ini.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS