SERI DELIMA – Sebanyak 67 notis akhir bertempoh 14 hari telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan usang dan terbiar di kawasan perumahan Taman Tun Sardon.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng berkata, pihaknya memandang serius isu lambakan kenderaan usang dan terbiar di kawasan terbabit dan notis yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan perumahan setempat itu adalah untuk diambil tindakan segera.
“Pihak kami (pengurusan perumahan dan Pusat Khidmat ADUN) komited bekerjasama dengan pihak pengurusan perumahan bagi menyelesaikan masalah yang sudah lama membelenggu penduduk setempat terutamanya apabila jumlah kereta usang bertambah dari semasa ke semasa.
“Di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), pihak pengurusan berhak untuk menunda kenderaan yang tersadai dan diharap dengan usaha ini secara langsung dapat mengurangkan masalah parkir di kawasan perumahan di sini,” katanya pada sidang media di Dewan Pemancar, dekat sini pagi ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan beberapa wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pihak pengurusan perumahan setempat.
Mengulas lanjut, selain isu kekurangan parkir letak kenderaan, kata Hooi Peng, isu lambakan kenderaan usang dan terbiar juga boleh menimbulkan masalah berbangkit yang lain.
“Kereta usang yang tersadai boleh mendatangkan permasalahan lain seperti masalah kesihatan yang mana takungan air dalam kenderaan yang rosak apabila hujan boleh menyebabkan kes denggi meningkat.
“Ia juga boleh menjadi habitat ular yang mampu membahayakan dan mengancam nyawa penduduk setempat.
“Malah, laporan pergaduhan berhubung isu parkir kereta juga pernah diterima oleh pihak Pusat Khidmat ADUN Seri Delima,” katanya sambil berharap agar isu ini dapat dibendung segera setelah lebih tiga tahun berlanjutan.
Teks & Gambar : NUR SYAKIRAH. MOHD BASRI