Perkenalkan semula sukan gusti tangan, ADUN bakal bertemu Exco & MSNPP

AIR ITAM – Permainan gusti tangan atau arm wrestling dahulunya sering dijadikan aktiviti ketika berkumpul bersama-sama rakan.

 

Namun, permainan ini semakin kurang mendapat sambutan dan dianggap sesuatu yang asing kerana ramai beranggap ia akan mengundang kecederaan serta memerlukan kekuatan fizikal.

 

JOSEPH Ng Soon Siang (kanan) beradu kekuatan sambil diperhatikan oleh salah seorang jurulatih di sini.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang, pemainan gusti tangan merupakan permainan tradisional ketika zaman kanak-kanak dan berhasrat untuk memperkenalkan semula aktiviti ini di sini.

 

“Aktiviti gusti tangan ini jarang kita dengari masa kini kerana telah digantikan dengan permainan dalam gajet atau e-sukan (sukan elektronik).

 

“Kanak-kanak zaman ini tidak mengenali keseronokan permainan gusti tangan yang boleh dianggap sebagai permainan tradisional kini.

 

“Oleh itu, saya mengambil inisiatif untuk memperkenalkan semula aktiviti gusti tangan ini di KADUN Air Itam sebagai permainan rakyat yang menghiburkan dan lebih berasas buat anak-anak muda kini,” ujarnya kepada pemberita ketika mengumumkan mengenai aktiviti gusti tangan ini di Dewan MPKK Kampung Melayu, semalam.

 

Menurut Soon Siang, dalam usaha menjadikan KADUN Air Itam sebagai ‘syurga’ buat komuniti sukan, aktiviti gusti tangan yang diadakan ini dilihat mampu membudayakan sukan sebagai gaya hidup.

 

GOH Thian Weai.

“Kita menyediakan khidmat jurulatih profesional negara untuk membantu melatih sesiapa sahaja yang berminat dan mahu mencuba aktiviti gusti tangan ini.

 

“Jadi saya menyeru orang ramai khasnya anak-anak muda di kawasan Flat Kampung Melayu di sini serta kawasan sekitar untuk datang dan mencuba aktiviti ini…belum cuba, belum tahu,” katanya yang turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berasaskan komuniti secara bersama di sini.

 

Ditanya sama ada, beliau akan ‘membawa’ aktiviti ini sebagai salah satu sukan dalam inisiatif Kerajaan Negeri ‘Sukan Untuk Semua’, Soon Siang berkata, beliau akan bertemu dan membincangkan mengenai hala tuju sukan gusti tangan ini pada masa hadapan bersama-sama Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee serta pihak Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

 

Sementara itu, jurulatih profesional gusti tangan, Goh Thian Weai yang juga pelapor aktiviti ini di KADUN Air Itam, turut berhasrat untuk membawa sukan ini ke peringkat yang lebih tinggi.

 

ANTARA yang terawal mencuba aktiviti gusti tangan di sini semalam.

“Di sesetengah negara, aktiviti gusti tangan ini merupakan sukan yang diperkenalkan sejak di bangku sekolah kerana dilihat sebagai salah satu sukan yang berupaya mengurangkan masalah juvenil di sekolah serta mampu membentuk disiplin diri.

 

“Setelah lebih lapan tahun berkecimpung dalam sukan ini, kini saya menyimpan hasrat untuk membentuk pasukan gusti tangan dari Pulau Pinang untuk bertanding di peringkat nasional…bahkan (peringkat) antarabangsa juga.

 

“Jadi, saya ingin berterima kasih kepada YB Joseph (Soon Siang) kerana menerima cadangan untuk mula memperkenalkan gusti tangan di sini (Air Itam),” jelasnya.

 

PELBAGAI saiz kettlebell turut ada di sini.

Selain kelengkapan bagi aktiviti gusti lengan, turut disediakan peralatan mini gimnasium seperti dead lift (angkat berat), kettlebell dan palang lintang (horizontal bar) untuk aktiviti senaman.

 

Sesiapa yang berminat untuk mencuba aktiviti gusti tangan ini, bolehlah ke Dewan MPKK Kampung Melayu setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8:00 malam sehingga 11:00 malam.

 

Tiada bayaran atau yuran dikenakan.

 

Maklumat lanjut, sila hubungi Thian Weai di talian 016-445 5648 atau layari Facebook ‘Penang Armwrestling’ (https://www.facebook.com/PenangArmwrestling/).

 

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI