7 tahun terbengkalai, Desa Aman kini pulih

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

RELAU – Hasil inisiatif Kerajaan Negeri melalui Exco Perancangan Bandar & Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai, projek Pangsapuri Desa Aman yang terbengkalai tujuh tahun lalu (sejak 2005) di sini berjaya ‘dihidupkan semula’.

Dengan itu, ia bakal memberi nafas baru kepada hampir 300 pembeli yang 96 peratusnya masih memilih untuk terus mengekalkan status sebagai pembeli (hanya 4 peratus tolak).

Ini bermakna, jumlah tersebut menambah bilangan projek-projek perumahan yang telah dipulih semula Kerajaan Negeri dan siap dibina iaitu di Taman Cemerlang di Bandar Baru Farlim, Taman Fettes di Mount Erskine, Taman Telok Air Tawar di Seberang Perai Utara, Taman Guar Perahu di Seberang Perai Tengah dan Taman Pekaka Indah di Simpang Ampat sebelum ini.

Hon Wai berkata, pemaju dahulu mengalami kebankrapan dan terbengkalai setelah kerja-kerja pembinaan mencapai tahap 60 peratus.

“Kini pemaju baru, hasil inisiatif Kerajaan Negeri, syarikat White Knight, Patsifit Construction Sdn. Bhd. mengambil alih untuk memulih semula kerja-kerja yang terbengkalai sebelum ini,” katanya pada majlis sidang media yang diadakan di tapak perumahan di sini baru-baru ini.

Pelan asal Pangsapuri Desa Aman mempunyai dua blok iaitu blok A yang mengandungi 266 unit, manakala blok B, 126 unit dengan jumlah keseluruhan adalah 392 unit di atas tanah berkeluasan 2.4 ekar di Jalan Paya Terubong, di sini.

Dalam pada itu, Pengarah White Knight, Patsifit Construction Sdn. Bhd., Tan Kok Hooi memaklumkan bahawa pihaknya kini dalam proses permohonan sijil kependudukan dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

PANGSAPURI Desa Aman kini hanya menanti sijil kependudukan.
PANGSAPURI Desa Aman kini hanya menanti sijil kependudukan.

 

GAMBAR perbandingan Pangsapuri Desa Aman sebelum dan selepas dibaikpulih setelah terbengkalai selama tujuh tahun.
GAMBAR perbandingan Pangsapuri Desa Aman sebelum dan selepas
dibaikpulih setelah terbengkalai selama tujuh tahun.