PENANTI – Sempena sambutan Aidilfitri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Datuk Mansor Othman berbesar hati menyampaikan duit raya berjumlah RM50 setiap satu kepada 70 asnaf fakir miskin di sini baru-baru ini.
Mansor yang juga Timbalan Ketua Menteri I menyatakan bahawa dalam kegirangan dan keghairahan menyambut Aidilfitri, mereka yang bernasib baik tidak seharusnya melupakan golongan yang memerlukan.
“Malah, dalam Islam sendiri, Rasulullah S.A.W menyeru umat Islam supaya saling bantu membantu sesame kita.
“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan yang di atas adalah pemberi dan tangan yang di bawah adalah penerima,” katanya dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Jamek Kubang Semang di sini baru-baru ini,
Tambah Mansor lagi, bersedekah juga adalah keberkatan yang berpanjangan dan mempunyai banyak fadilatnya. Selain pemberian duit raya, mereka (asnaf) juga menerima hamper keperluan barangan asas seperti beras, minyak masak, minuman tin, gula dan biskut.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Yang diPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd. Salleh Man dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.