70 peratus nelayan daftar skim SIMP demi pembangunan

Admin

BAYAN LEPAS – Dua orang nelayan Tahap 1 siri pertama yang telah mendaftar menerusi Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) telah menerima bantuan bangsal konkrit baharu di Permatang Tepi Laut semalam.

 

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, sehingga kini 70 peratus nelayan yang terlibat dengan pembangunan Penang South Island (PSI) sudah mendaftar di bawah SIMP.

 

“Perkembangan tersebut adalah positif kerana tanggapan umum selama ini adalah nelayan membantah projek PSI.

 

“Jelas realitinya bukan begitu kerana sebaik sahaja nelayan mendapat tahu projek sudah mendapat kelulusan untuk memulakan penambakan, mereka bersedia untuk mendaftarkan nama untuk skim SIMP.

 

“Mereka tidak bertindak balas dengan menentang projek kerana mereka sebenarnya berfikiran terbuka dan menerima pembangunan,” ujar beliau pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Bangsal Nelayan serta Penyampaian Hadiah Kecemerlangan dan Kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dekat Kampung Binjai, Bayan Lepas, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya (DBD), Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Dato’ Seri Farizan Darus.

Mohd. Noor Ramli dan Shoib Ibrahim merupakan dua penerima bangsal terawal melalui SIMP dan bakinya akan menerima secara berperingkat-peringkat selain anak-anak nelayan menerima bantuan ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga ADUN Batu Maung memberitahu bahawa sehingga 4 Oktober 2023, seramai 347 daripada 496 orang nelayan Tahap 1 yang berkelayakan telah mendaftar untuk skim SIMP.

Tambahnya, sebelum projek mendapat kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) pada 21 Julai, peratusan pendaftaran nelayan Tahap 1 sejak pengumuman skim SIMP pada awal 2021 adalah 56 peratus.

 

Difahamkan, unit nelayan yang dikategorikan sebagai Tahap 1 adalah yang terletak paling hampir dengan tapak PSI meliputi unit di Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar manakala unit Tahap 2 adalah unit Pulau Betong, Kuala Sungai Burung, Seri Jerjak, Telok Tempoyak dan Batu Maung.

 

“Mereka yang layak menerima manfaat di bawah skim SIMP oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, mesti aktif dan berdaftar dengan Jabatan Perikanan.

“Antara manfaat SIMP adalah penerimaan bantuan kewangan (ex-gratia), pengambilan kursus kemahiran seperti kursus jurumudi manakala tekong dari kawasan Tahap 1 juga ditawarkan bot yang lebih besar dan enjin lebih berkuasa agar mereka dapat pergi lebih jauh untuk menangkap ikan,” kata Mohamad lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT