750 pelajar sertai bengkel pertama Innospark Penang

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 750 pelajar dari 25 buah sekolah di seluruh negeri mengambil bahagian dalam program perintis di bawah Tech Dome Penang (TDP) iaitu Innospark Penang yang dianjurkan secara serentak pada 10 Jun lalu.

Program yang bertujuan menyemarakkan minat generasi muda, khasnya golongan pelajar terhadap pembelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) ini dilancarkan pada Mac 2023 oleh Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Tech Dome Penang.

Melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Tech Dome Penang, program Innospark Penang ini merupakan program unik yang direka untuk mencetuskan rasa ingin tahu, kreativiti dan inovasi dalam kalangan golongan muda terutamanya para pelajar.

Dalam dunia digital yang serba pantas hari ini, pengaturcaraan menjadi salah satu kemahiran penting yang mendorong inovasi dan perubahan,  dan melalui program ini, kami (TDP) menyediakan permulaan yang menarik dalam dunia pengekodan (yang mana) ia membuka ruang kepada pelajar untuk menemui potensi mereka sebagai inovator yang menjadi pelopor pembaharuan.

“Program Innospark Penang ini adalah terdiri daripada beberapa siri bengkel ‘hands-on’ dan pertandingan antara sekolah melibatkan daya cipta sistem rumah pintar menggunakan Maker Uno dan sebagai permulaan, bengkel pertama pada 10 Jun lalu disertai seramai 750 pelajar dari 25 sekolah dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah hadir memberi sokongan kepada ‘sekolah angkat’ masing-masing.

“Terima kasih kepada Yang Berhormat Zairil Khir Johari (Exco Infrasturktur dan Pengangkutan merangkap ADUN Tanjung Bunga; Exco Perdagangan, Industri & Pembangunan Keusahawanan yang juga ADUN Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif merangkap ADUN Paya Terubong dan ADUN Komtar, Teh Lai Heng kerana telah hadir ke ‘sekolah angkat’ masing-masing bagi meninjau perjalanan bengkel ini,” kata kenyataan tersebut di sini pada 10 Jun lalu.

TEH Lai Heng membantu salah seorang pelajar ketika hadir ke SJKC Hu Yew Seah yang merupakan ‘sekolah angkat’ beliau di sini baru-baru ini.

Pada masa sama, pihak Tech Dome Penang turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta barisan penaja yang terdiri daripada ADUN-ADUN atas sokongan berterusan dalam memastikan perjalanan program ini berjaya direalisasikan.

“Kami (di TDP) percaya bahawa bimbangan secara langsung dan berterusan adalah kunci kejayaan dalam dunia pengaturcaraan.

“Oleh yang demikian, terima kasih kepada semua mentor berpengalaman yang sudi memberi bimbingan dan sokongan tidak ternilai sepanjang proses pembelajaran peserta.

“Mereka (mentor) memberi inspirasi dalam membawa keseronokan dan inovasi serta membina keyakinan dalam kalangan peserta yang mengambil bahagian dalam (program) Innospark Penang ini, malah, kami juga menghargai sokongan penaja dari rakan strategik kami, Cytron Technology.

“Marilah kita terus berinspirasi, mencipta dan berinovasi dengan Innospark Penang,” katanya yang menyasarkan penyertaan seramai 2,400 pelajar dari 80 sekolah tahun ini.

 

PROF. Dr. P. Ramasamy bersama-sama barisan penaja yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meneliti projek di bawah Innospark Penang pada pelancarannya Mac lalu. (Gambar : Ihsan Buletin Mutiara)

 

Difahamkan, antara mentor yang mengambil bahagian adalah Motorola Solutions Malaysia Sdn. Bhd., Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd., Knowles Electronics (M) Sdn. Bhd. dan Boston Scientific Medical Device (M) Sdn. Bhd..

Penganjuran bengkel julung kali ini melibatkan 25 daripada 45 sekolah yang mengambil bahagian pada 10 Jun lalu, manakala sesi kedua dijalankan pada 24 Jun dan 15 Julai; sesi ketiga (22 Julai) dan sesi keempat pula pada 4 dan 12 Ogos 2023.

SJKC Kong Min Cawangan 2 merupakan salah sebuah sekolah yang turut mengambil bahagian pada penganjuran julung kali bengkel Innospark Penang pada 10 Jun lalu.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : TDP dan ADUN